top of page

Had tempoh jawatan PM: 'Bukan pembangkang menang tetapi rakyat rugi'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Pihak pembangkang diharap dapat bersama memperkukuh institusi dan memajukan demokrasi negara dalam usaha reformasi Kerajaan MADANI pada masa akan datang.


Perkara itu disuarakan oleh Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Jalex Lee (gambar) sambil menegaskan negara memerlukan sokongan yang jelas dan meyakinkan bagi memastikan perubahan bermakna dapat direalisasikan.


Katanya, beliau amat kecewa apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) maksimum kepada 10 tahun, tidak dapat diluluskan dalam sidang Parlimen kali ini.


"Sungguh menyedihkan apabila melihat satu reformasi yang begitu hampir untuk berjaya, akhirnya tersungkur di saat-saat akhir.


"Keputusan ini memaksa kerajaan untuk meneliti dengan lebih cermat langkah seterusnya, khususnya dengan satu lagi pindaan Perlembagaan yang bakal dibentangkan, iaitu pemisahan peranan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya.


"Saya benar-benar berharap agar kali ini semua Ahli Parlimen dapat mengetepikan perbezaan parti dan menunjukkan kematangan politik demi kepentingan negara.


"Sekiranya trend ini berterusan, saya risau ia akan dikenang bukan sebagai kemenangan kepada pihak pembangkang, tetapi sebagai satu kerugian kepada rakyat dan Malaysia," katanya yang meluahkan kebimbangan itu dalam satu kenyataan.


Jalex menyifatkan, perjalanan sebuah reformasi bukan sesuatu yang mudah seperti disangka dan menegaskan bahawa keazaman politik itu penting, namun kadangkala ia sahaja tidak mencukupi.


Untuk mencapai majoriti dua pertiga, beliau berkata proses itu bukan sahaja memerlukan angka yang mencukupi, malah keberanian, keyakinan dan kesediaan merentasi perbezaan politik diperlukan demi meletakkan kepentingan negara mengatasi percaturan politik.


"Reformasi ini mungkin tidak sempurna, tetapi ia tetap membawa makna. Kemajuan, walaupun sedikit demi sedikit, sentiasa lebih baik daripada terus berada di takuk lama.


"Saya juga berharap agar kita dapat sekali lagi menyaksikan perpaduan dwipartisan seperti yang ditunjukkan pada tahun 2019 apabila Undi-18 diluluskan secara sebulat suara.


"Ia merupakan satu detik di mana Ahli Parlimen bersama-sama menyedari tanggungjawab besar mereka terhadap rakyat.


"Detik tersebut membuktikan bahawa apabila kepentingan negara diutamakan, perbezaan politik dapat diketepikan," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page