Persiapan Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC berjalan lancar
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Persiapan bagi memastikan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2026 berlangsung teratur kini dipergiatkan menjelang bermulanya Kongres Angkatan Muda KEADILAN (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada petang ini.
Ketua Penerangan Negeri KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, tinjauan di tapak kongres dilakukan beliau dan rakan rakan bagi memastikan semua persiapan termasuk kemudahan untuk peserta berjalan mengikut perancangan.
"Pagi tadi saya telah turun meninjau persiapan di tapak Kongres Keadilan Nasional yang bakal berlangsung di MITC, Ayer Keroh, Melaka, bermula 14 hingga 16 Ogos 2026," katanya dalam muat naik di media sosial.

Menurut beliau, tinjauan itu turut disertai Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Zairuddin; Ketua AMK Melaka, Hakimin; Setiausaha Kerja MPN Melaka, Amir; Naib Pengerusi MPN Melaka, Azlan Osman serta beberapa kakitangan MITC.
Katanya, beberapa lokasi utama sekitar tapak kongres turut diperiksa termasuk kawasan pemasangan bahan promosi dan kemudahan peserta.
"Kami meninjau beberapa lokasi utama termasuk kerja-kerja pemasangan banner, banting, bendera, booth dan kemudahan khemah bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar," katanya.

Eddiarman berkata, aspek lalu lintas dan keselamatan peserta turut diberi perhatian bagi memastikan pergerakan sepanjang berlangsungnya kongres tidak menimbulkan masalah.
"Kami turut meninjau keadaan sekitar jalan raya bermula dari Tol Ayer Keroh sehingga ke Bulatan Taman Tasik Utama, selain melihat aspek parkir, laluan keluar masuk dan keselamatan peserta sepanjang berlangsungnya kongres," ujarnya.
Beliau berkata, segala persiapan kini dipergiatkan dengan kerjasama pihak berkaitan bagi memastikan kelancaran kongres yang menghimpunkan pimpinan dan anggota KEADILAN dari seluruh negara.
"InsyaAllah, segala persiapan sedang dipergiatkan bagi memastikan Kongres Keadilan Nasional 2026 berlangsung dengan lancar, selamat dan teratur.
"Selamat datang ke Melaka, bumi bertuah. Selamat datang ke Kongres Nasional KEADILAN 2026," katanya.




Comments