Persetan lawan politik: Selepas Ramadan pemimpin Pas harus berhati bersih
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 2 min read

Pemimpin Pas diingatkan agar terus mengamalkan pendekatan berhemah dan mengelakkan sebarang bentuk penggunaan bahasa atau tuduhan tidak berasas dalam wacana awam selepas Ramadan, selaras dengan semangat penyucian jiwa yang ditekankan sepanjang bulan tersebut.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, coretan Minda Presiden Pas bertajuk ‘Rumah Bangsa Tidak Berdinding’ yang disiarkan pada 12 Mac lalu menghentam idea penyatuan Melayu UMNO, disifatkan sebagai mengandungi unsur tuduhan dan berpandangan ia tidak wajar diketengahkan dalam suasana bulan Ramadan.
"Pertama, pentingnya (kita) bersihkan hati. Ajaran daripada Ramadan (ialah) untuk kita bersihkan hati. Kita keluar daripada bulan Ramadan ini, mesti dengan suci hati.
"Kalau bawa lagi perangai hat (yang) lama, pun tak jadi kerja, duk 'perdajal' orang, 'persetan' orang.
"Yang saya heran, orang yang menggunakan perkataan-perkataan itu ialah orang yang mahir tentang bagaimana disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi (iaitu) iblis dan syaitan dirantai kaki pada bulan puasa.
"Tapi depa (mereka) yang duk guna, duk persetan, duk perdajal orang dalam bulan Ramadan ini," katanya dalam satu siaran Podcast sambil membidas pihak berkenaan.
Mahfuz berkata, dakwaan yang mengaitkan usaha memperkukuh perpaduan umat sebagai agenda ‘Rumah Bangsa Tanpa Dinding' dilihat seolah-olah memberi gambaran bahawa pihak yang mengajak ke arah tersebut dikaitkan dengan ‘syaitan’.
"Bagi saya (ia) satu tuduhan kepada orang dan tak sepatutnya (dilakukan) di bulan Ramadan.
"Di luar bulan Ramadan juga kita kena bawa satu pendekatan dakwah untuk orang melihat betapa kebaikan Islam itu melalui nilai rahmah dalam kita menyantuni masyarakat," ujar beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Pokok Sena.
Menerusi tulisan 'Minda Presiden Pas' Tan Sri Abdul Hadi Awang di Facebook rasmi beliau, antara intipati yang dinyatakan ialah Pas telah menghantar pemerhati satu perjumpaan bagi memenuhi jemputan Rumah Bangsa yang diiklankan UMNO bagi melihat dan menyaksikan sendiri kalangan yang hadir.
Walaupun tanpa kehadiran wakil DAP, Ahli Parlimen Marang itu berkata, perkara tersirat dapat dibaca dalam pertemuan itu.
"Wajib dipastikan siapa yang boleh menjadi kawan yang dipercayai atau lawan yang diragui kerana Allah mewajibkan kita memilih kawan yang soleh serta menjauhkan diri daripada kawan yang merosakkan urusan agama dan dunia yang menjadi jambatan ke akhirat.
"Dapat disaksikan betapa penyakit was-was daripada bisikan syaitan turut mengganggu ahli UMNO sendiri, kerana berlawanan dengan perjuangan asal UMNO yang meletakkan agama sebahagian daripada dasarnya.
"Sehinggakan, ramai yang keluar meninggalkan rumah yang tercabut dinding dan ditebuk atapnya kerana mudah dimasuki air dan ditiup angin," katanya dipetik.




Comments