Persenda agama: Noorazli perlu tarik balik, mohon maaf kepada penganut Katholik


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Penampang menggesa Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said menarik balik kenyataannya yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Kristian serta memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Kristian dan rakyat Sabah serta Sarawak.
Ketua AMK Penampang merangkap Naib Ketua AMK Sabah, Eldridge Laurence Timis (gambar), berkata kenyataan yang dibuat semasa Perhimpunan Agung Umno 2026 pada 12 September lalu tidak sewajarnya berlaku di pentas politik nasional, khususnya apabila melibatkan paderi, biarawati Katolik dan rujukan kepada kitab suci.
Menurut beliau, agama, kitab suci dan tokoh agama perlu dihormati serta tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka, sindiran atau retorik politik.
"Agama adalah urusan suci. Kitab suci, paderi, biarawati dan institusi keagamaan mana-mana umat tidak boleh dijadikan bahan lawak, lebih-lebih lagi di pentas perhimpunan parti politik utama negara.
"Apa yang suci bagi satu komuniti wajib dihormati oleh semua, sebagaimana umat Islam sendiri menuntut penghormatan yang sama terhadap Islam," katanya dalam kenyataan.
Eldridge berkata, masyarakat Sabah dan Sarawak telah sekian lama hidup dalam suasana kepelbagaian agama dan budaya dengan semangat saling menghormati.
Justeru, katanya, sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama berpotensi menjejaskan keharmonian yang telah dipelihara oleh masyarakat Borneo sejak sekian lama.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat Kristian merupakan sebahagian penting daripada identiti, sejarah dan kehidupan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
"Di Penampang sendiri, dan di seluruh Sabah serta Sarawak, paderi dan biarawati dihormati sebagai pemimpin rohani, bukan watak lawak.
"Menghormati mereka bukan tanda kelemahan, ia tanda kedewasaan sebuah negara majmuk," katanya.
Sehubungan itu, AMK Penampang menggesa Noorazli menarik balik kenyataan berkenaan secara rasmi dan tanpa syarat serta memohon maaf secara terbuka kepada penganut Katolik, masyarakat Kristian serta rakyat Sabah dan Sarawak yang tersinggung.
Eldridge turut meminta pimpinan Umno menyatakan pendirian yang jelas supaya agama mana-mana pihak tidak dijadikan bahan jenaka atau retorik politik.
Katanya, permohonan maaf yang bersyarat tidak mencukupi sekiranya kenyataan tersebut telah dibuat di pentas rasmi dan mendapat perhatian masyarakat.
"Keharmonian Malaysia tidak boleh dikorbankan demi gelak tawa. Agama bukan senjata, bukan bahan gurauan dan bukan alat politik," katanya lagi.




Comments