top of page

Persempadanan semula pilihanraya Sarawak perlu adil, seimbang - Abun

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 days ago
  • 2 min read

Sebarang proses persempadanan semula di Sarawak perlu dilaksanakan secara adil, seimbang dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, demikian kata Senator Abun Sui Anyit.


Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu berkata, jika cadangan tersebut benar, adalah penting untuk memastikan bahawa sebarang proses persempadanan dilaksanakan secara telus, bebas dan berlandaskan prinsip yang telah ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Dalam konteks itu katanya, perhatian sewajarnya diberikan agar cadangan yang dikemukakan tidak hanya mengambil kira satu perspektif semata-mata, tetapi merangkumi keperluan pelbagai kawasan termasuk dari segi komposisi penduduk, keluasan geografi serta kemudahan pentadbiran.


"Kawasan yang luas dan mencabar seperti Baram dan Hulu Rajang juga memerlukan pertimbangan khusus bagi memastikan wakil rakyat dapat menjalankan tanggungjawab dengan berkesan serta memastikan pembangunan kawasan pedalaman terus diberi perhatian.

Senator Abun Sui Anyit
Senator Abun Sui Anyit

"Sebagai perbandingan, cadangan sebelum ini termasuk penubuhan DUN Tubau di Hulu Rajang dan DUN Usun Apau di Baram adalah lebih mencerminkan prinsip keadilan dan keseimbangan seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam mengambil kira keluasan geografi dan cabaran logistik.


"Pendekatan sebegini penting agar kawasan yang luas dan pedalaman tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan serta mendapat perwakilan yang lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Abun lagi, secara prinsipnya, sebarang cadangan persempadanan perlu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, khususnya Perkara 113 berkaitan kuasa dan tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam menjalankan persempadanan semula.


Ujarnya, Perkara 116 dan 117 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, manakala Jadual Ketiga Belas menggariskan prinsip persempadanan termasuk keseimbangan jumlah pengundi, faktor geografi, kemudahan pentadbiran dan kepentingan komuniti tempatan.


"Sehubungan itu diharapkan agar sebarang proses persempadanan dilaksanakan secara adil, seimbang dan inklusif, dengan mengambil kira pandangan serta kepentingan rakyat di semua kawasan.


"Penjelasan rasmi daripada SPR juga adalah penting bagi memastikan kefahaman yang tepat serta keyakinan umum terhadap proses ini," kata Abun lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page