Perpaduan tidak boleh diremehkan, isu sensitif mesti ditangani segera
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keharmonian dan perpaduan negara tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya sebarang isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat mesti ditangani segera bagi mengelakkan ketegangan.
Berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina ACCCIM 2026 semalam, beliau berkata Malaysia selama ini berdiri kukuh atas semangat muhibah dan toleransi yang disemai dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya.
"Negara ini berdiri kukuh atas semangat setia kawan dan persahabatan yang disemai dalam kalangan seluruh rakyat, merentasi kepelbagaian kaum, agama, budaya serta adat istiadat setiap negeri," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang lumrah. Bagaimanapun perbezaan itu tidak membenarkan individu atau kelompok menjadi ekstrem dan memperjuangkan kepentingan sehingga melanggar undang undang.
"Saya tegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam negara majmuk adalah lumrah, namun ia tidak boleh menjadi alasan untuk mana-mana pihak bertindak di luar batas undang-undang. Tindakan yang mengganggu-gugat kestabilan negara tidak akan sama sesekali ditoleransi," tegasnya.

Di samping itu, Anwar turut mengingatkan bahawa kestabilan, keamanan dan perpaduan merupakan asas kekuatan negara berbilang kaum seperti Malaysia, yang tidak sama asasnya dengan banyak negara lain.
"Kestabilan, keamanan dan perpaduan adalah tunjang kekuatan Malaysia, dan menjadi tanggungjawab bersama untuk mempertahankannya," katanya lagi.





