JAKIM kerjasama dengan PDRM, MCMC pantau amalan Syiah
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memantau penularan video didakwa berkaitan amalan Syiah yang tular di media sosial.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memantau kegiatan kumpulan tersebut.
"Kita dapat maklumat dan bekerjasama dengan PDRM agar perkara ini tidak sehingga mengganggu keselamatan negara.
"Kita mahu mengelakkan daripada (amalan) ini disebar atau (cubaan) mendapatkan ahli baharu atau menularkan pengaruh. Dalam masa sama, semua pihak diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan," katanya dipetik.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama-sama Sekretariat Dakwah Korporat Jakim di Bangi, semalam.
Tular baru-baru ini, video berdurasi 20 saat memaparkan sekumpulan lelaki pengikut Syiah sedang berzikir sambil menari di sebuah markas ajaran itu di ibu negara tular di media sosial.
Kumpulan tersebut dipercayai terdiri daripada warga asing berasal dari Pakistan, menamakan diri mereka sedemikian berdasarkan jumlah anggota tentera Islam ketika Perang Badar.
Sirajuddin sementara itu menegaskan pandangan hukum mengenai ajaran Syiah sudah dikeluarkan sebagai ajaran yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) di pelbagai peringkat di Malaysia
Justeru pihaknya menegaskan komitmen berterusan JAKIM dalam memelihara akidah umat Islam di Malaysia di negara ini.





