top of page

Kekecohan berfoto di KLCC: Perlu reformasi pelesenan jurugambar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 23 minutes ago
  • 2 min read

Kekecohan membabitkan jurugambar tanpa lesen di sekitar KLCC baru-baru ini disifatkan sebagai petunjuk jelas kepada kelemahan sistem kawal selia sedia ada, sekali gus menuntut pembaharuan menyeluruh menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


Mantan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lee Zheng Xing menyambut baik tindakan penguatkuasaan DBKL yang mengeluarkan kompaun serta menyita peralatan milik beberapa individu termasuk warga asing. Namun menurut beliau, pendekatan bersifat sementara tidak akan menyelesaikan akar masalah.


"Saya menyambut baik tindakan penguatkuasaan DBKL di sekitar KLCC terhadap jurugambar tanpa lesen.


"Namun saya perlu menyatakan dengan terus terang bahawa isu sebenar tidak akan selesai hanya dengan penguatkuasaan bersifat sementara. Masalah ini berpunca daripada kekosongan dan kelemahan struktur peraturan yang telah berlarutan sekian lama," katanya dalam satu kenyataan.


Zheng Xing yang pernah terlibat dalam perbincangan pengurusan ruang awam dan perancangan bandar berkata, KLCC bukan sekadar kawasan komersial, sebaliknya simbol imej negara dan gambaran pertama pelancong terhadap Malaysia.


Beliau mendedahkan menerima aduan daripada pelancong asing yang mendakwa dikenakan caj tidak munasabah bagi perkhidmatan fotografi, malah hanya dimaklumkan mengenai bayaran tinggi selepas sesi bergambar selesai.


"Ada juga laporan bahawa segelintir jurugambar ‘menguasai’ lokasi popular dan menghalang pihak lain daripada mengambil gambar.


"Lebih membimbangkan, terdapat jurugambar tanpa lesen yang mengarahkan pelancong berdiri di tengah jalan atau berhampiran laluan trafik untuk mendapatkan sudut terbaik. Ini jelas membahayakan keselamatan awam dan menjejaskan imej negara," tegasnya.


Menurut beliau, apabila ruang awam mula “dipetakkan” secara tidak rasmi tanpa kawalan jelas, ia menandakan hakisan terhadap prinsip ketertiban bandar dan kepentingan awam.


"Tahun 2026 merupakan Tahun Melawat Malaysia, dan kita sedang mengangkat imej negara ke pentas antarabangsa. Namun sekiranya pengalaman awal pelancong di kawasan jantung ibu negara dicemari oleh kekeliruan harga dan suasana yang tidak teratur, segala kempen promosi akan kehilangan maknanya. Promosi boleh dilakukan melalui iklan, tetapi reputasi negara hanya dapat dipertahankan melalui tadbir urus yang berkesan," katanya.


Zheng Xing menegaskan isu tersebut bukan sekadar soal penguatkuasaan, tetapi kegagalan merangka sistem pelesenan dan garis panduan yang jelas.


"Kita masih belum mempunyai kerangka pelesenan khusus, garis panduan kadar bayaran yang telus, serta penetapan zon fotografi yang jelas. Apabila peraturan kabur, ruang kelabu akan melebar; dan apabila ruang kelabu melebar, imej negara akan terhakis," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa menilai semula model pengurusan aktiviti komersial di kawasan pelancongan dengan mewujudkan sistem pelesenan profesional bagi jurugambar, mekanisme penetapan kadar bayaran yang telus, zon penggunaan ruang awam yang jelas serta saluran aduan responsif dan bersepadu dengan penguatkuasaan.


"Imej negara tidak dibina melalui pencahayaan bangunan semata-mata, tetapi dipelihara melalui kekuatan institusi dan kejelasan peraturan. Jika kita gagal memastikan ketertiban di KLCC sebagai simbol negara, bagaimana kita mahu meyakinkan dunia bahawa Malaysia bersedia menjadi destinasi pelancongan yang diyakini dan dihormati," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page