Kerajaan Selangor teliti bantahan projek pembesaran Westports
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Isu bantahan projek perluasan Westports 2 di Klang yang dikemukakan komuniti Orang Asli di Sungai Kurau akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dibincangkan dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata perkara itu akan dirujuk dalam mesyuarat Exco negeri bagi meneliti isu yang dibangkitkan serta menentukan langkah susulan yang sesuai.
"Untuk perkara ini, saya akan rujuk dalam mesyuarat MMKN sebentar lagi," katanya dipetik.
Amirudin berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Permit dan Kit Bazar Ramadan 2026, di Shah Alam pada Rabu.
Komuniti Orang Asli tersebut sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap projek tersebut yang didakwa boleh mengancam sumber pendapatan nelayan di kawasan berkenaan.
Pengerusi Kampung Sungai Kurau, Pulau Carey, Lanuza A/L Layon, berkata penduduk wajar dimaklumkan lebih awal kerana projek berimpak besar itu melibatkan kawasan adat dan sumber rezeki masyarakat setempat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember lalu menegaskan projek perluasan pelabuhan itu perlu dimulakan secepat mungkin, namun menggesa agar hak Orang Asli, penduduk setempat, nelayan pesisir serta kelestarian ekosistem terus dilindungi.





