Perlukah PH Diubah Ke Pakatan Reformasi?



Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif


Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021 lalu dan beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti Tanjung Piai dan Cameron Highlands semasa pemerintahan Kerajaan PH merupakan penampakan yang jelas bahawa jenama PH merupakan jenama yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat Malaysia ketika ini.


Walaupun kesemua parti-parti yang bergabung dalam PH mempunyai aspirasi dan gerak kerja yang jelas dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia melalui dokongan urus tadbir negara yang baik, pembenterasan rasuah, pengangkatan ekonomi dan taraf hidup rakyat marhean, menolak elitis politik yang rakus haloba serta mendukung insititusi raja-raja Melayu dan jaminan mengekalkan hak istimewa orang Melayu, namum itu semua gagal dan gagal berkali-kali menambat hati para pengundi di Malaysia pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 14.


Era kerajaan PH penuh kekeliruan?


Realitinya, para pengundi masih mengingati pemerintahan Kerajaan PH sebagai zaman yang peralihan yang penuh kekeliruan dan dalam beberapa keadaan mengecewakan. Jenama PH telah terkoyak teruk, reput dan berbau sangat busuk akibat perbuatan seorang bekas Perdana Menteri (PM) keempat yang diberi peluang kali kedua selepas PRU14. Lebih malang, mantan PM ketujuh Malaysia gagal menunaikan janji menyerahkan kepimpinan kepada penerusnya sebagaimana yang telah dimaterai dalam perjanjian PH sebelum PRU14.

Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif

Ketika era pemerintahan Kerajaan PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohammad (Tun M) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), banyak asas perjuangan asal reformasi telah dikesampingkan oleh Tun M. Perasaan marah, kecewa dan geram para penyokong serta rakyat marhean yang mendokong reformasi jelas terpancar apabila Tun M menyatakan bahawa “manifesto bukanlah kitab suci”, suatu tikaman yang menusuk sanubari semua reformis dan pengundi PH.


Luka tikaman itu masih lagi berdarah hingga ke hari ini dan sukar dihilangkan, malah setiap kali pilihan raya PH dianggap gabungan parti yang “gagal melaksanakan janji pilihan raya” walaupun telah banyak penambahbaikan terhadap agensi dan program kerajaan yang telah dibuat. Tikaman ini bukanlah tikaman sebarangan, ia suatu sabotaj terhadap amanah dan kepercayaan pengundi yang memilih PH.


KEADILAN sinonim perjuangan rakyat


PH memasuki PRU14 di bawah logo atau bendera keramat KEADILAN yang begitu sinonim dengan perjuangan membela nasib rakyat marhean dan begitu lantang menolak elitis politik yang kaya-raya melalui rompakan dan penyamunan dana negara ketika Umno-BN berkuasa.


Bendera atau logo KEADILAN bukan sahaja langsung boleh dihubungkaitkan secara imej difikiran atau imaginasi dalam minda pengundi sebagai sebuah organisasi yang istiqamah membela dan memperjuangkan nasib rakyat, sejak 23 tahun lalu, tetapi telah dikenali hampir sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai “mata lebam Anwar” yang membangkit perasaan simpati kepada perjuangan Anwar Ibrahim dan marah terhadap kezaliman pemerintah Umno-BN.


Apa yang jelas frasa “Pakatan Harapan” telah membawa banyak asosiasi buruk terhadap politik reformasi dan ia perlu diganti dengan suatu ungkapan atau frasa lain atau nama lain yang lebih segar, kredibel dan tepat. Dalam hal ini saya mencadangkan agar Pakatan Harapan ditukar kepada “Pakatan Reformasi” kerana saya yakin intipati perjuangan setiap parti gabungan dalam PH sama ada KEADILAN, Amanah dan DAP adalah membuat perubahan atau reformasi terhadap nilai politik dan sistem pemerintahan negara.


Logo merah PH yang lebih hampir kepada logo BERSATU tidak perlu dijulang dan digunakan lagi. Ia sebuah logo yang penuh kekecewaan. Soal logo baru Pakatan Reformasi tidak perlu dijadikan isu besar kerana asas perjuangan reformasi melalui logo dan bendera Parti Keadilan Rakyat itu sendiri telah lama terpahat kukuh dihati dan sanubari sebahagian besar rakyat Malaysia.


Anwar terus sebagai jeneral perang


Bercakap soal cadangan pertukaran nama dan logo PH kepada Pakatan Reformasi, saya tidak bermaksud bercakap tentang penjenamaan semula parti secara teknikal dan abstrak. Memadai jika PRU15 kali ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai jeneral perang Pakatan Reformasi yang tiada kena mengena dengan kerosakan dan imej buruk pemerintahan PH di bawah Tun M yang dilihat cuba menggagalkan agenda reformasi itu sendiri ketika PH memerintah 22 bulan sejak PRU14.


Pakatan Reformasi adalah gabungan parti-parti dengan cita-cita tulen untuk melihat negara ini kembali gemilang dan makmur di bawah panji-panji kemuliaan insan yang bebas dari kezaliman dan ketakutan terhadap pemerintahan yang korup dan zalim. Pakatan Reformasi juga adalah suatu cita-cita yang melebihi sekadar harapan yang tidak tertunai yang dinafikan oleh seorang bekas perdana menteri zalim yang pernah “menumbuk” lebam mata seorang timbalannya.


Sesungguhnya nama “Pakatan Reformasi” merupakan jenama yang lebih tepat, kredibel dan berkarismatik sesuai dengan kepimpinan dan perjuangan 23 tahun Anwar Ibrahim dan semua rakyat Malaysia yang meyakini idea, impian serta agenda reformasi. Setidak-tidaknya cadangan ini, saya fikir, tidaklah secelupar dan seangkuh cadangan ADUN Bilut!


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu dan Ahli Majlis Pengerusi PH Terengganu.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER