Perlukah bubar sayap wanita dalam wadah politik?

Updated: Sep 21



Oleh: Loh Ker Chean

Mengimbas kembali sewaktu saya menjadi aktivis mahasiswi di Universiti, kumpulan aktivis sentiasa bergurau bahawa objektif kami menyertai sesebuah persatuan adalah untuk membubar persatuan tersebut.

Kenapa? Ini adalah kerana apabila kita sudah berjaya memenuhi objektif sesebuah persatuan tersebut, maknanya tiada keperluan lagi untuk persatuan tersebut diteruskan.


Kalau kita menggunakan fahaman yang sama dalam melihat kewujudan organisasi sayap wanita dalam wadah politik sekarang, apakah roadmap yang ingin kita lakarkan untuk memenuhi objektifnya, lalu membubar sayap wanita pada suatu hari nanti?


Fungsi sayap wanita


Fungsi sayap wanita adalah sebagai medan tambahan dan inkubator untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berbakat di semua peringkat. KPI kuota 30% wakil wanita merupakan salah satu tindakan afirmatif yang diambil oleh parti politik untuk cuba meningkatkan kadar penglibatan kaum wanita, mengambil jawatan tinggi dan melibat diri dalam pejabat awam.


Pada hakikatnya, perjuangan sayap wanita tidak dapat dipisahkan daripada agenda perjuangan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita yang banyak dipengaruhi ideologi feminisme.


Tidak boleh dinafikan bahawa terdapat hasil penyelidikan Cambridge Universiti (David M. Greenberg, 2018) yang telah membuktikan bahawa wanita secara genetik lebih bersifat empati, dan sifat tersebut adalah amat penting bagi seseorang politikus dalam proses membuat dasar yang inklusif dan meraikan kepelbagaian.


Oleh itu, adalah penting untuk parti politik melahirkan lebih banyak pemimpin kaum wanita dan usaha kita tidak harus berhenti di kuota 30% sahaja. Angka kuota wanita tersebut berfungsi sebagai sasaran yang boleh diukur dan diperhatikan dalam konteks sains politik dan statistik sejarah bagi aktivisme feminisme.


Loh Ker Chean

Malah, jangan kita lupa bahawa visi kita sepatutnya untuk berada selangkah ke hadapan, matlamat akhir perjuangan aktivisme dan gerakan secara umum adalah untuk membina kehidupan yang berkualiti dan sejahtera untuk semua insan dan alam sekitar secara lestari.


Inilah matlamat sebenar yang perlu kita capai. Jika suatu hari nanti, semua politikus khususnya politikus lelaki faham dan berpegang dengan fahaman ini, maka tidak mustahil sayap wanita ini boleh dibubarkan.


Hakikatnya, untuk mencapai objektif ini, proses pembebasan minda perlu berlaku di antara gender, dan banyak pendekatan baharu perlu digarap sebelum mencapai matlamat ini.


Ambil kira input pelbagai pihak

Sebagai contoh, ramai yang terlibat dalam bidang politik tidak kira wanita atau lelaki masih mengamalkan fahaman bahawa isu yang berkaitan dengan wanita lebih sesuai dibawa oleh golongan hawa. Isu seperti keganasan rumah tangga, gangguan seksual, seksisme dan sebagainya.

Perbincangan isu – isu ini sepatutnya melibatkan semua pihak. Ini adalah kerana semua pandangan pemegang taruh dalam institusi keluarga dan masyarakat perlu diambil kira dalam mencari jalan penyelesaian. Secara umum kaum wanita adalah mangsa dan kaum lelaki adalah pemangsa dalam kebanyakan kes keganasan rumah tangga.


Kita jarang memperhalusi cara penyelesaian dari sudut pemangsa dan punca seperti kempen kesihatan mental yang memfokuskan khidmat kaunserling kepada kaum lelaki.


Lelaki-wanita saling melengkapi

‘Wanita’ merupakan objek utama dalam penerbitan media atau artikel penyelidikan yang berkaitan dengan perjuangan pemerkasaan wanita atau kesaksamaan gender. Statistik yang dipapar sering kali mengambil sudut perbandingan jurang kaum lelaki berbanding kaum wanita dalam pelbagai bidang seperti guna tenaga, pendidikan, ekonomi, sosial, kesihatan dan politik.

Saya tidak pasti adakah naratif perbandingan yang tertanam dalam masyarakat sekian lama ini telah disalah ertikan oleh masyarakat, yang perjuangan tersebut merupakan sesuatu persaingan di antara kaum wanita dan kaum lelaki.

Kita tidak boleh lawan seksisme dengan seksisme. Begitu juga dengan perkauman, kita tidak boleh lawan perkauman dengan perkauman atau perspektif perkauman.

Kaum wanita dan lelaki bukan memainkan peranan bertentangan dalam usaha perjuangan kesaksamaan gender tetapi saling melengkapi, memahami dan bekerjasama dalam keluarga dan masyarakat.

Sepanjang pandemik wabak Covid-19 ini, Perintah Kawalan Pergerakan membuatkan rakyat Malaysia kembali menumpukan perhatian kepada keluarga induk atau rumah tangganya sendiri. Keluarga merupakan unit asas dalam pembinaan masyarakat dan penjanaan ekonomi negara. Negara tidak dapat berfungsi tanpa asas yang kukuh ini.


Kualiti rumah tangga sebagai teras

Hari ini pembinaan dan pengoperasian rumah tangga telah banyak berubah dan tidak lagi terhad kepada sesuatu formula sahaja. Justeru itu, apabila timbul perbahasan isu yang berkaitan pengurusan dan perancangan rumah tangga, pelbagai dasar baharu perlu digubal dan pelbagai pilihan sistem sokongan baharu perlu disediakan oleh kerajaan.


Ini adalah untuk menjaga kesejahteraan dan kualiti kehidupan rumah tangga yang selari dengan peredaran zaman dan perkembangan sosioekonomi masyarakat.

Perbahasan isu – isu seperti cuti bersalin dan menjaga anak, perkhidmatan menjaga anak, isu kaum wanita kembali ke tempat kerja, isu penjagaan anggota keluarga yang telah berusia tanpa gaji dan sebagainya perlu dilihat sebagai cabaran yang dihadapi oleh sesebuah unit rumah tangga.


Isu keibubapaan

Sebagai contoh, keibubapaan dalam keluarga merupakan tanggung jawab bersama isteri dan suami. Jika kaum lelaki juga layak mengambil cuti menjaga anak seperti kaum wanita, pembebasan minda akan berlaku bahawa kaum lelaki boleh memainkan peranan pengasuh dan memberi ruang kepada isteri menumpu perhatian pada kerjayanya. Perbahasan dan dasar semasa kadang kala terlalu cenderung kepada keperluan wanita bukan keperluan rumah tangga.

Untuk menggalakkan ibu bapa muda mempunyai lebih ruang dan pilihan dalam pengurusan pembinaan rumah tangga mereka, subsidi pusat penjagaan anak boleh diwujudkan dengan syaratnya kedua-dua ibu bapa bekerja. Dengan itu, kebarangkalian kaum wanita menyambung kerjayanya selepas bersalin akan ditingkatkan.


Selain itu, kebanyakan dasar kerajaan semasa memfokuskan kepada kebajikan dan bantuan ibu tunggal sahaja. Walaupun secara statistik, ibu tunggal merupakan majoriti dan bukan bapa tunggal, tetapi faktor yang sentiasa tidak sengaja diabaikan adalah kesusahan yang dihadapi di kalangan bapa tunggal. Mungkin kesusahan yang berbeza berbanding dengan kesusahan yang dihadapi oleh warga ibu tunggal, tetapi isu ini wujud dan semakin membesar.


(Bahagian 1)

Rujukan:


David M. Greenberg, Varun Warrier, Carrie Allison, and Simon Baron-Cohen. 2018

Testing the Empathizing-Systemizing theory of sex differences and the Extreme Male Brain theory of autism in half a million people. Cambridge: Department of Psychiatry, University of Cambridge


__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita Pusat, Parti KEADILAN Rakyat





PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio