Perluaskan skim deposit sifar pembeli rumah pertama Bumiputera - Saifuddin


Belanjawan 2027 perlu memberi perhatian khusus kepada isu pemilikan rumah pertama, khususnya dalam kalangan generasi muda Bumiputera.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, walaupun semakin ramai anak muda Bumiputera mempunyai pekerjaan tetap dan pendapatan stabil, pemilikan rumah pertama masih menjadi cabaran besar kepada golongan tersebut.
"Harga purata rumah di Malaysia kini menghampiri RM500,000, sedangkan majoriti pembeli rumah pertama terdiri daripada golongan muda yang baru membina kerjaya dan keluarga.
"Masalah sebenar bukan kekurangan unit rumah, tetapi jurang antara kemampuan pembeli dengan akses kepada pembiayaan.
"Separuh pertama 2026 sahaja, lebih 33,000 unit rumah siap bernilai hampir RM18 bilion masih belum menemui pembeli," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Saifuddin mencadangkan tiga langkah utama dipertimbangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027.
Antaranya, memperluaskan skim deposit sifar kepada pembeli rumah pertama Bumiputera yang mempunyai rekod pekerjaan dan caruman KWSP yang konsisten.
Beliau turut menggesa jaminan kerajaan yang lebih menyeluruh diperkenalkan bagi membantu golongan muda mendapatkan pembiayaan rumah tanpa dibebankan dengan syarat terlalu ketat pada peringkat awal kerjaya.
Dalam masa sama, Bank Negara Malaysia, institusi kewangan dan AKPK perlu menilai semula mekanisme kelayakan pinjaman bagi graduan serta pekerja muda.
"Penilaian risiko pinjaman perlu kekal berhemah, namun tidak seharusnya sehingga menutup peluang golongan muda membina aset pertama ketika berada pada usia paling produktif.
"Ukuran kejayaan agenda Bumiputera bukan sahaja pada jumlah program atau peruntukan yang diumumkan setiap tahun, tetapi berapa ramai anak muda Bumiputera berjaya memiliki rumah pertama sebelum usia 35 tahun," katanya.
Saifuddin turut menegaskan, rumah bukan sekadar tempat tinggal, sebaliknya merupakan aset keluarga dan bentuk keterjaminan ekonomi untuk generasi akan datang.
Kerajaan, katanya, perlu memastikan rumah mampu milik, unit Rizab Bumiputera, Rumah Selangorku, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan skim perumahan awam lain benar-benar membuka laluan kepada pemilikan kekal.
"Belanjawan 2027 diharap menjadi titik perubahan daripada agenda bantuan kepada agenda pemilikan aset.
"Generasi muda Bumiputera tidak mahu menjadi generasi penyewa. Mereka mahu menjadi generasi pemilik," tambahnya.




Comments