top of page

Kerajaan tambah peruntukan, pasang CCTV cegah salah laku di sekolah

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
2 hours ago
2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menegaskan pelbagai langkah bagi mencegah salah laku di sekolah telah dilaksanakan kerajaan, termasuk penambahan guru bimbingan dan kaunseling, pembantu warden serta penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Beliau berkata, langkah-langkah berkenaan sememangnya telah dilaksanakan kerajaan, namun sebahagiannya mungkin tidak dijelaskan secara menyeluruh kepada umum.


Katanya, antara langkah yang telah diambil termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah dengan peruntukan RM3 juta, manakala RM5 juta diperuntukkan bagi pemasangan CCTV di sekolah berasrama penuh.


"Tahun depan kita tambah lagi RM15 juta untuk 1,000 sekolah. Untuk guru bimbingan dan kaunseling pula, sekarang kita mempunyai 5,107 jawatan guru bimbingan dan kaunseling yang ditambah bagi membantu menyelesaikan masalah ini.


"(Kerajaan turut melantik) 300 pembantu warden asrama melalui MySTEP, selain memberi kebenaran rasmi kepada PDRM untuk memasuki sekolah pada bila-bila masa dengan menggunakan pakaian seragam," katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah [PN-Indera Mahkota] berkaitan isu berkenaan dan mengharapkan PM Anwar memantau isu-isu salah laku melibatkan golongan pelajar.


Jelas Anwar lagi, langkah lain yang dilakukan pihak kerajaan termasuk memperkukuh kemahiran dan sokongan psikososial, dengan 400 warden diberikan latihan setakat ini.


Selain itu ujarnya, kuasa pengetua, guru besar dan jawatankuasa disiplin turut diperkasa bagi menambah baik sistem disiplin murid dan pada masa sama memperluas advokasi terhadap suara murid, memperkukuh polisi perlindungan murid serta melaksanakan saringan minda sihat.


"Berbeza juga dengan generasi kita, kalau kena pukul (rotan) di sekolah, balik rumah bagitahu ibu bapa, (lagi) ibu bapa pukul.


"Kalau (zaman) sekarang kena jentik sikit, (pendidik pula) disaman," katanya lagi sambil menyifatkan insiden yang berlaku di Yong Peng baru-baru ini sebagai ujian yang besar.


Pada 2 Oktober lalu, Allahyarhamah Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor.


Mangsa disyaki dibunuh selepas terdapat beberapa kecederaan ditemukan pada pada badannya.


Susulan itu, rakan sekelas Irene Sofiya iaitu pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page