top of page

Penduduk Simpang Bekoh, DUN Rim berdepan ketiadaan ATM, stesen minyak

Writer: Hasbul Ahmad
Hasbul Ahmad
1 hour ago
1 min read

Penduduk di sekitar Simpang Bekoh, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim didakwa masih berdepan kekurangan kemudahan asas termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan stesen minyak.


Naib Ketua Cabang KEADILAN Jasin, Ramli Meerad (gambar), berkata keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa melakukan perjalanan jauh ke Jasin bagi mendapatkan kemudahan berkenaan.


Menurutnya, kedudukan Simpang Bekoh yang agak jauh dari pusat bandar menyebabkan urusan harian penduduk menjadi lebih sukar, terutama bagi mendapatkan kemudahan perbankan dan bahan api.


"Kalau ikut DUN itu, Simpang Bekoh memang sudah di hujung. Paling dekat ialah Jasin dan perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit," katanya kepada Suara Keadilan menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.


Ramli berkata, penduduk kawasan itu berada di tengah-tengah antara Jasin dan Tangkak kerana kedua-dua lokasi berkenaan memerlukan perjalanan yang agak jauh.


Justeru itu, ketiadaan stesen minyak berhampiran turut menyebabkan sebahagian penduduk mendapatkan petrol dalam botol daripada kedai-kedai kampung.


"Memang ada petrol dalam botol di kampung-kampung. Walaupun ada peraturan mengenai penjualan petrol secara begitu, keadaan itu masih berlaku," katanya.


Beliau berkata, isu berkenaan wajar diberi perhatian dalam agenda pembangunan DUN Rim kerana kemudahan asas seperti ATM dan stesen minyak bukan sahaja berkaitan keselesaan penduduk, malah penting bagi aktiviti ekonomi masyarakat setempat.


Ramli berkata, pembangunan di kawasan luar bandar perlu mengambil kira keperluan harian penduduk dan tidak hanya tertumpu kepada projek berskala besar.


"Penduduk mahu pembangunan yang dekat dengan kehidupan mereka. Kalau hendak ke Jasin hanya untuk mendapatkan minyak atau menggunakan ATM, itu menunjukkan masih ada kemudahan asas yang perlu diberi perhatian," katanya.


Beliau berkata isu berkenaan antara perkara yang perlu dibawa dalam perbincangan menjelang PRN Melaka supaya pembangunan di kawasan seperti Simpang Bekoh tidak terus terpinggir.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page