'Perkukuh kualiti pekerja migran, cegah pemerdagangan manusia'
- Suara Keadilan

- Feb 19
- 1 min read

Usaha memperkemas pengurusan pekerja migran Indonesia ke Malaysia seharusnya diperkukuh dari semasa ke semasa.
Hal itu dirintis oleh PT Migran Indonesia Intelligence (MII) yang membangun platform digital dalam urusan penyediaan tenaga kerja yang turut selari dengan agenda pentadbiran Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika ini.
Menurut mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar - yang baru baru ini menerima taklimat langsung daripada pengasas, merangkap pengerusi syarikat MII - beliau menegaskan sistem itu berguna bagi memastikan pekerja Indonesia yang dihantar ke Malaysia lebih berkualiti serta bebas daripada sebarang elemen eksploitasi.
"Insya-Allah platform ini penting untuk memastikan pekerja yang dihantar ke Malaysia berkualiti dan membanteras isu pemerdagangan manusia," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Fakhrulrazi, sistem bersepadu itu juga diyakini mampu menjimatkan kos pengambilan tenaga kerja dari Indonesia ke Malaysia, sekali gus memberi manfaat kepada majikan dan pekerja di kedua-dua negara.
"Sistem ini akan menjimatkan kos memperkerjakan tenaga kerja dari Indonesia ke Malaysia dan yang pastinya menguntungkan kedua-dua belah pihak," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fakhrulrazi turut mengadakan pertemuan santai bersama anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jawa Barat, Bapak Syahrir yang juga wakil Setiausaha Parti Gerindra.
Beliau memaklumkan pertemuan itu membuka ruang kerjasama politik serta peranan nasihat berkaitan pengurusan dan kebajikan pekerja migran Indonesia, khususnya melibatkan penempatan ke Malaysia.
"Insya-Allah kerjasama politik dan nasihat akan diberikan berkaitan pekerja migran Indonesia. Terima kasih kepada PT Migran Indonesia yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai penasihat dan rakan kongsi untuk Malaysia serta beberapa negara Teluk," katanya lagi.




Comments