top of page

Siasat kemungkinan akaun palsu cetus kebencian terhadap Rohingya - MAPIM

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
51 minutes ago
3 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kemungkinan penggunaan akaun palsu dan rangkaian media sosial terancang bagi menyebarkan kebencian terhadap komuniti Rohingya di negara ini.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya memandang serius peningkatan kandungan media sosial yang didakwa mengandungi maklumat palsu, video dimanipulasi, statistik rekaan dan naratif berunsur kebencian terhadap etnik berkenaan.


Menurutnya, beberapa dakwaan tular berkaitan Rohingya sebelum ini turut dinafikan oleh agensi kerajaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kesan penyebaran maklumat tidak sahih terhadap persepsi masyarakat.


"Ini menimbulkan persoalan penting sama ada kita sedang berhadapan dengan penyebaran kebencian secara spontan, atau terdapat rangkaian akaun yang sengaja memanipulasi sentimen masyarakat?


"MAPIM menuntut supaya persoalan ini disiasat secara profesional dan berasaskan bukti," katanya dalam kenyataan.


Azmi berkata, dalam satu berita tular di media sosial, pada 20 Ogos lalu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan kehadiran individu yang didakwa Rohingya di premis jabatan itu tidak bermaksud mereka sedang memohon atau akan diberikan MyKad.


Jelasnya, JPN turut menerangkan terdapat pelbagai urusan pendaftaran dan dokumentasi membabitkan bukan warganegara.


Katanya, pada 24 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula menafikan dakwaan bahawa jabatan itu mencadangkan supaya Rohingya diberikan lesen memandu.


Menurutnya, JPJ kemudiannya membuat laporan kepada MCMC untuk siasatan dan tindakan berhubung kandungan berkenaan, yang ketika itu dilaporkan menerima lebih 1,800 komen dan 325 perkongsian.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

"Kes-kes ini menunjukkan bagaimana dakwaan yang tidak disahkan boleh memperoleh perhatian besar sebelum pihak berkuasa sempat memberikan penjelasan," katanya.


Bagaimanapun, Azmi menegaskan MAPIM tidak membuat kesimpulan bahawa semua akaun yang menyebarkan kandungan anti-Rohingya ialah akaun palsu, sebaliknya perkara itu perlu dibuktikan melalui siasatan.


Beliau merujuk kenyataan MCMC pada Februari 2026 yang dilaporkan mengesan ciri coordinated inauthentic behaviour (CIB), iaitu tingkah laku tidak autentik terkoordinasi, dalam penyebaran kandungan berunsur 3R.


Menurutnya, dalam kes berkenaan, kandungan sama disebarkan berulang kali oleh 40 akaun Facebook dan 10 akaun TikTok dalam tempoh singkat bagi memanipulasi persepsi awam.


"Walaupun kes tersebut tidak berkaitan secara khusus dengan Rohingya, kewujudan pola sedemikian membuktikan bahawa manipulasi terkoordinasi melalui media sosial merupakan sesuatu yang perlu dipandang serius," katanya.


Jalankan siasatan menyeluruh


Sehubungan itu, MAPIM menggesa MCMC dan PDRM menjalankan siasatan khusus terhadap corak penyebaran kandungan yang menyasarkan komuniti Rohingya.


Antara aspek yang dicadangkan untuk disiasat ialah penggunaan akaun palsu atau identiti palsu, kemungkinan rangkaian akaun yang menyebarkan kandungan sama secara terkoordinasi, penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan bahan palsu serta kemungkinan operasi bot atau akaun automatik.


MAPIM turut mencadangkan kerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan data teknikal yang diperlukan untuk mengenal pasti rangkaian penyebaran kandungan yang disahkan palsu.


Selain itu, Azmi mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penubuhan atau pengaktifan mekanisme khas yang melibatkan MCMC, PDRM, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penerangan, pakar forensik digital, ahli akademik dan masyarakat sivil.


Katanya, mekanisme itu boleh berperanan mengenal pasti lebih awal penyebaran maklumat palsu yang dijana AI, video manipulasi, statistik rekaan, kempen kebencian serta kandungan yang menghasut permusuhan terhadap sesuatu kumpulan etnik.


Dalam pada itu, beliau menegaskan isu Rohingya di Malaysia perlu dibincangkan secara terbuka, termasuk perkara berkaitan imigresen, dokumentasi, pekerjaan, jenayah, keselamatan, pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang.


Bagaimanapun, katanya, perbincangan mengenai dasar tidak seharusnya berubah menjadi kempen membenci seluruh komuniti.


"Jika seorang individu melakukan kesalahan, individu tersebut hendaklah disiasat dan dihukum mengikut undang-undang.


"Jika terdapat pelanggaran undang-undang oleh organisasi atau mana-mana pihak, tindakan perlu diambil berdasarkan bukti. Tetapi seseorang tidak boleh dianggap bersalah hanya kerana dia Rohingya," katanya.


Azmi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan video pendek, gambar, komen dan hantaran media sosial sebagai bukti muktamad tanpa mengesahkan kesahihannya, terutama dalam era AI generatif dan teknologi deepfake.


Jangan jadi punca perpecahan masyarakat


Beliau berkata, MAPIM tidak mahu isu Rohingya menjadi punca pertembungan antara rakyat Malaysia, sebaliknya mahu ia ditangani melalui undang-undang, fakta, dasar yang jelas dan prinsip kemanusiaan.


"Jika benar terdapat rangkaian akaun palsu yang sengaja memanipulasi sentimen anti-Rohingya, dedahkan rangkaiannya, siasat sumbernya dan ambil tindakan berdasarkan undang-undang.


"Jangan biarkan algoritma media sosial menentukan siapa yang rakyat Malaysia patut benci. Keadilan mesti mendahului kebencian," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page