top of page

Akta Perkhidmatan Parlimen: Selepas 34 tahun, Parlimen dapat semula autonomi

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
53 minutes ago
2 min read

Parlimen Malaysia memperoleh semula autonomi pentadbirannya selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam agenda reformasi institusi negara.


Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, pelaksanaan akta itu mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen selepas 34 tahun dimansuhkan pada 1992.


Menurutnya, Malaysia sebelum ini pernah mempunyai Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, namun perkhidmatan berkenaan dimansuhkan sehingga Parlimen tidak lagi mempunyai kerangka autonomi khusus seperti yang diwujudkan semula menerusi undang-undang terbaharu itu.


"Hari ini, selepas 34 tahun, sebuah perkhidmatan khusus untuk Parlimen diwujudkan semula. Nampak teknikal. Tetapi besar maknanya," kata beliau dalam satu kenyataan.

Datuk Dr Suhaimi Ibrahim
Datuk Dr Suhaimi Ibrahim

Suhaimi berkata, autonomi Parlimen penting bagi memastikan institusi itu dapat melaksanakan tanggungjawab menggubal undang-undang, meluluskan perbelanjaan negara serta menyemak tindakan kerajaan secara berkesan.


Jelasnya, kerajaan dan Parlimen mempunyai fungsi berbeza dalam sistem demokrasi, justeru institusi legislatif perlu mempunyai keupayaan pentadbiran yang membolehkannya menjalankan tugas tanpa terlalu bergantung kepada eksekutif.


"Dalam sistem demokrasi, kerajaan dan Parlimen bukan perkara yang sama. Kerajaan mentadbir. Parlimen menggubal undang-undang, meluluskan perbelanjaan dan menyemak tindakan kerajaan.


"Sebab itu Parlimen mesti mempunyai keupayaan institusi untuk menjalankan tugasnya secara berkesan," katanya.


Beliau berkata, di bawah Akta 869, Parlimen mempunyai perkhidmatan khusus yang membolehkannya mengurus pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya dengan autonomi lebih besar.


Menurutnya, langkah itu turut mencerminkan prinsip pengasingan kuasa atau separation of powers, yang membezakan peranan eksekutif, legislatif dan kehakiman dalam memastikan sistem semak dan imbang negara berfungsi.


"Eksekutif mentadbir. Legislatif menyemak dan menggubal undang-undang. Kehakiman mentafsir undang-undang.


"Apabila ketiga-tiga institusi ini mempunyai ruang menjalankan fungsi masing-masing, kuasa tidak terlalu tertumpu pada satu tempat. Dan apabila kuasa tidak terlalu tertumpu, rakyat mendapat perlindungan yang lebih baik," ujarnya.


Dalam pada itu, Suhaimi berpandangan keputusan melaksanakan reformasi berkenaan menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memperkukuh institusi Parlimen.


Beliau berkata, kerajaan sebenarnya mempunyai pilihan untuk tidak meneruskan reformasi itu, namun langkah mengembalikan autonomi Parlimen penting bagi memastikan institusi yang berperanan menyemak kerajaan mempunyai kekuatan tersendiri.


Mengulas proses penggubalan akta berkenaan, Suhaimi berkata, Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen dibentangkan pada Februari 2025 sebelum diluluskan Dewan Rakyat pada 5 Mac tahun sama.


Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan Dewan Negara pada 20 Mac 2025, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 9 Julai 2025 dan diwartakan pada 18 Julai 2025.


Akta berkenaan akhirnya mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh autonomi dan keupayaan institusi Parlimen Malaysia.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page