Membaca Zaman, Mempersiap Generasi, Memperkukuh Kesatuan


Oleh: Khairul Anuar Abdul Manap
ULASAN: Dalam tulisan terdahulu, KEADILAN Bangkit: Memugar Reformasi, Membina MADANI, kita mengemukakan bahawa sesuatu perjuangan tidak cukup hanya mempunyai sejarah. Ia perlu terus mempunyai makna kepada manusia yang hidup pada zamannya. Nilai yang menjadi akar perlu sentiasa diterjemahkan semula agar perubahan tidak terhenti sebagai kenangan.
Renungan itu kembali terasa ketika mengikuti Seminar Antarabangsa Geopolitik dan Perubahan Global sempena Ijtimak Harakiy WADAH–ABIM–PKPIM kali ke-8 di Universiti Putra Malaysia pada 25 hingga 27 September 2026.
Seminar pada Sabtu, 26 September menghimpunkan ilmuwan dalam dan luar negara untuk membincangkan ketidaktentuan geopolitik, persaingan kuasa besar, teknologi, perubahan iklim dan daya tahan masyarakat. Perbincangan turut memberi perhatian fenomena sosial yang terjadi serta kesannya terhadap Malaysia, ASEAN dan dunia Islam.
Ilmu, nilai bina peradaban
Malamnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), hadir ke Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan. Kehadiran beliau mempunyai makna tersendiri dalam perjalanan WADAH–ABIM–PKPIM kerana beliau sendiri pernah menjadi Presiden ABIM yang kedua.
Dalam ucapannya, PMX mengingatkan bahawa negara dan gerakan tidak boleh dipacu oleh kemarahan serta sentimen semata-mata. Ilmu, nilai dan pembinaan peradaban perlu menjadi asas. Beliau turut menegaskan bahawa negara tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan penyelewengan kekayaan negara.
Daripada keseluruhan perjalanan Ijtimak Harakiy dan seminar ini, tiga pesan besar dapat kita renungkan. Pertama, mempersiapkan generasi.
Kelangsungan sesuatu perjuangan tidak boleh bergantung kepada satu generasi. Ada generasi yang membuka jalan, ada yang mempertahankannya, ada yang mengembangkan institusi dan ada generasi baharu yang akan membaca perjuangan itu dengan pengalaman zamannya sendiri.
Sebab itu mempersiapkan generasi tidak sama dengan sekadar menyediakan pengganti untuk mengisi jawatan. Generasi perlu dibina dengan ilmu, nilai, daya fikir, pengalaman dan keberanian moral.
Cabaran ini menjadi lebih mendesak apabila dunia bergerak dalam keadaan yang semakin tidak menentu. Teknologi berubah dengan pantas. Kecerdasan buatan mengubah cara kita mendapatkan pengetahuan. Persaingan kuasa besar memberikan kesan kepada ekonomi dan keselamatan. Perubahan iklim pula membawa implikasi terus kepada kehidupan masyarakat.
Dalam keadaan seperti ini, kelompok berilmu tidak boleh hanya berada di ruang seminar. Ilmu perlu turun ke tengah masyarakat. Kepemimpinan perlu mendengar. Institusi perlu membuka ruang. Generasi baharu perlu diberikan peluang bukan sahaja untuk menerima pandangan generasi terdahulu, tetapi juga bertanya, mengkritik, mencuba dan akhirnya memimpin. Mempersiapkan generasi bermaksud memastikan perjalanan tidak kehilangan masa depan.
Kekuatan daripada pengalaman masyarakat majmuk
Kedua, Malaysia perlu terus membina kekuatan daripada pengalaman masyarakat majmuknya.
Dalam sesi kedua Seminar Antarabangsa tersebut, berdasarkan catatan sepanjang menghadiri program, antara perkara yang disentuh oleh Dr Syed Ghulam Nabi Fai dan Dr Muslim Imran ialah pengalaman Malaysia dalam mengurus kehidupan masyarakat yang pelbagai serta gagasan Malaysia MADANI.
Hal ini seiring dan sejalan dengan kerangka seminar yang turut membincangkan pembinaan masyarakat majmuk yang berdaya tahan berteraskan Malaysia MADANI.
Namun, perkara ini perlu dibaca dengan sederhana. Mengatakan bahawa pengalaman Malaysia diperhatikan oleh masyarakat antarabangsa bukan bermakna negara kita telah menyelesaikan semua persoalan. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
Reformasi institusi perlu diteruskan. Ketidaksamaan sosial perlu ditangani. Kepercayaan terhadap institusi perlu sentiasa dibina. Kehidupan masyarakat pula perlu dinilai bukan hanya melalui angka, tetapi melalui pengalaman sebenar rakyat.
Namun, kita juga tidak perlu terlalu rendah diri sehingga gagal melihat kekuatan yang telahpun dibina. Malaysia mempunyai pengalaman panjang mengurus masyarakat yang berbeza agama, budaya, bahasa dan latar sosial dalam satu kerangka kenegaraan. Pengalaman itu tidak sempurna, tetapi mempunyai nilai untuk terus diperbaiki dan dikongsi.
Di sinilah Malaysia MADANI seharusnya difahami bukan hanya sebagai slogan pentadbiran. Nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan hanya mempunyai makna apabila diterjemahkan dalam hubungan antara manusia, institusi dan kehidupan masyarakat. Dalam dunia yang semakin mudah terpecah kerana identiti dan ketakutan, kemampuan hidup bersama dalam perbezaan merupakan kekuatan yang perlu dipelihara.
Kesatuan umah
Ketiga, kesatuan. Pada penutupan Ijtimak Harakiy, Presiden WADAH, Datuk Ahmad Azam Abdul Rahman, berdasarkan catatan penulis, menyampaikan satu pesan yang mudah tetapi mendalam,
“Kita satu umat, kita satu perjuangan, kita satu jemaah.”
Kesatuan di sini tidak sepatutnya difahami sebagai tuntutan supaya semua orang berfikir dengan cara yang sama. Kesatuan yang matang tidak menghapuskan perbezaan. Sebaliknya, ia menyediakan bingkai supaya perbezaan dapat diurus tanpa memutuskan hubungan dan tujuan bersama.
Kita boleh berbeza dalam cara membaca sesuatu isu. Kita boleh mempunyai pendekatan yang berlainan. Kita juga boleh menegur kelemahan dalam kalangan sendiri. Tetapi perbezaan itu tidak seharusnya menyebabkan kita kehilangan adab, persaudaraan dan amanah yang lebih besar. Kesatuan fikiran membantu kita memahami arah. Kesatuan tindakan membolehkan sesuatu ikhtiar dilaksanakan. Kesatuan hati pula memastikan perbezaan tidak berubah menjadi permusuhan.
Ini menjadi semakin penting dalam zaman ketika media sosial mudah membina kelompok yang hanya mahu mendengar pandangan sendiri. Perbezaan pendapat dengan pantas boleh berubah menjadi label, penghinaan dan prasangka. Kesatuan bukan bermaksud menutup ruang teguran. Sebaliknya, kesatuan memerlukan keberanian untuk menegur dengan hikmah dan kesediaan untuk menerima teguran dengan lapang.
Kukuhkan ilmu hadapi sentimen
Di sinilah pesan ilmu yang dibawa oleh Perdana Menteri bertemu dengan pesan kesatuan yang disampaikan oleh Presiden WADAH. Semangat sahaja tidak mencukupi tanpa ilmu. Ilmu pula tidak mencukupi tanpa nilai. Nilai memerlukan institusi. Institusi memerlukan manusia. Dan manusia memerlukan kebersamaan untuk membina sesuatu yang lebih besar daripada dirinya.
Jika direnung kehadapan, tiga pesan ini saling bertaut. Mempersiapkan generasi memastikan perjuangan mempunyai penerus. Membina kehidupan bersama dalam masyarakat majmuk memastikan negara mempunyai tapak yang kukuh. Memelihara kesatuan pula memastikan perbezaan tidak memusnahkan tenaga yang diperlukan untuk bergerak ke hadapan.
Dalam dunia yang tidak menentu, kita mungkin tidak dapat menentukan segala yang datang dari luar. Tetapi kita masih boleh menentukan bagaimana masyarakat kita dipersiapkan untuk menghadapinya. Kita boleh memilih untuk memperkukuh ilmu daripada sentimen, membina institusi daripada kebergantungan kepada individu, menyediakan generasi daripada sekadar mencari pengganti, dan memelihara kesatuan tanpa menafikan perbezaan.
Barangkali di situlah makna sebenar menyambung legasi perjuangan. Bukan sekadar mengulang apa yang telah dilakukan generasi terdahulu, tetapi membawa nilai yang diwariskan untuk menjawab persoalan zaman yang baharu.
Kita satu umat. Kita satu perjuangan. Kita satu jemaah.
Bukan untuk menutup perbezaan, tetapi untuk memastikan bahawa di tengah segala perbezaan, kita masih mempunyai amanah bersama yang lebih besar untuk dipelihara.




Comments