top of page

Jambatan runtuh sejak 2013, 50 pekebun Kg Ubai, Semangat rayu bantuan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Fakhrul Anuar (dua dari kanan) meninjau jambatan kayu yang roboh akibat banjir besar sedekat lalu
Fakhrul Anuar (dua dari kanan) meninjau jambatan kayu yang roboh akibat banjir besar sedekat lalu

Keadaan jambatan kayu yang runtuh dan hampir musnah ditelan semak samun di kawasan Permatang Besar, Jalan Kuantan-Pekan menjadi bukti penderitaan yang ditanggung hampir 50 pekebun kecil dari Kampung Ubai dan Kampung Semangat, DUN Inderapura, Parlimen Kuantan sejak 13 tahun lalu.


Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi baru baru ini turun padang meninjau sendiri lokasi berkenaan bersama wakil-wakil pekebun kecil melihat keadaan sebenar laluan utama ke kebun sawit dan getah mereka yang terputus sepenuhnya akibat banjir besar pada tahun 2013.


Menurut Fakhrul, hasil tinjauan mendapati jambatan kayu utama runtuh sepenuhnya dan hanya tinggal sisa struktur kayu yang patah dan condong. Struktur ini langsung tidak boleh dilalui kenderaan mahupun pejalan kaki. Jalan kebun pula rosak dan terbiar, ditumbuhi semak dan hanya tinggal laluan tanah berbatu kerikil yang tidak sempurna. Beberapa bahagian jalan terpaksa melalui lencongan jauh dan becak, menyukarkan pekebun mengeluarkan hasil.


Pertemuan bersama 50 pekebun kecil tersebut mendedahkan, jambatan itu merupakan nadi tunggal untuk mereka mengusahakan kebun dan mengeluarkan hasil sawit serta getah. Sejak jambatan itu dihanyutkan banjir, ramai pekebun terpaksa mengusung hasil secara manual, menggunakan laluan alternatif yang jauh, atau membiarkan kebun terbiar kerana kos pengangkutan yang terlalu tinggi.

Sisa jambatan kayu yang tidak diperbaiki
Sisa jambatan kayu yang tidak diperbaiki

"Kami sudah banyak kali mengadu nasib kepada Kerajaan Negeri melalui ADUN dan Penghulu Mukim, surat pun sudah banyak kali hantar, tapi sampai sekarang tiada jambatan baharu dibina," luah salah seorang pekebun.


Menurut mereka, kelewatan pembinaan semula jambatan ini telah menjejaskan teruk sumber pendapatan keluarga B40 yang bergantung sepenuhnya kepada hasil kebun.


Fakhrul Anuar dalam tinjauan itu berkata, beliau dukacita dengan keadaan daif infrastruktur pertanian kecil terbiar begitu lama tanpa pembelaan.


"Saya sendiri lihat jambatan kayu itu sudah roboh, tiang patah dan tapak jambatan ditumbuhi semak. Ini bukan isu kecil, ini isu periuk nasi rakyat.


"13 tahun pekebun kecil di sini terpaksa menanggung akibatnya. Saya akan bawa perkara ini secara rasmi kepada pihak berwajib di peringkat Persekutuan dan Negeri agar pembinaan jambatan baharu yang lebih kekal dan selamat dapat disegerakan," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa isu infrastruktur kebun pekebun kecil perlu diberi keutamaan seiring dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk membela nasib pekebun kecil dan memperkukuh sekuriti makanan negara.


Para pekebun kecil berharap agar kerajaan dapat meluluskan peruntukan segera bagi membina jambatan baharu konkrit di Permatang Besar demi kelangsungan hidup mereka.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page