top of page

Perkukuh jentera KEADILAN, raih keyakinan rakyat - Amirudin

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • May 2
  • 2 min read
DS Amirudin berucap dalam Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Pilihan Raya di Petaling Jaya
DS Amirudin berucap dalam Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Pilihan Raya di Petaling Jaya

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan keperluan memperkukuh pendekatan politik yang lebih strategik dan meyakinkan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa, selari dengan landskap pemikiran rakyat yang semakin kompleks.


Amirudin berkata, situasi kini bukan lagi sekadar pertembungan isu, sebaliknya melibatkan persepsi dan rasa tidak selamat dalam kalangan rakyat yang perlu ditangani dengan berkesan.


"Dulu tuntutan reformasi tinggi kerana rakyat mahukan perubahan dan penghapusan rasuah.


"Kini apabila reformasi dilaksanakan, rakyat pula ingin merasai kestabilan dan keselamatan," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Pilihan Raya: “TERAS” di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Petaling Jaya hari ini.


Menurut beliau, cabaran utama ketika ini adalah bagaimana untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan mampu menjamin kestabilan selain mengurangkan rasa tidak selamat yang dirasai.


"Macam mana kita nak ‘position’ diri kita untuk tawarkan jaminan kestabilan dan rasa selamat? Ini bukan mudah, tetapi inilah cabaran yang perlu kita hadapi," ujarnya.


Dalam masa sama, Amirudin yang juga Pengarah Operasi Pilihanraya KEADILAN menekankan bahawa pendekatan politik tidak boleh terlalu bersifat idealistik semata-mata, sebaliknya perlu memahami realiti dan corak pemikiran masyarakat yang pelbagai.


Mengambil contoh Selangor, beliau berkata negeri itu berjaya mengimbangi pelbagai pendekatan termasuk dalam aspek keagamaan dan pembangunan, sekali gus menepis persepsi negatif terhadap pentadbiran negeri.


Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan dalam pilihanraya bergantung kepada dua elemen utama iaitu gelombang sokongan rakyat dan kerja lapangan yang tersusun.


Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti agar bergerak sebagai satu pasukan yang padu dengan memanfaatkan sistem yang diperkenalkan bagi memastikan gerak kerja pilihanraya berimpak tinggi.


"Ini masanya kita bekerja sebagai satu pasukan.


"Dengan strategi yang betul dan usaha berterusan, insya-Allah kemenangan akan dapat dicapai," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page