top of page

PRN Melaka: PH pertaruh calon muda, buka ruang buktikan kemampuan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
4 hours ago
2 min read
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Chiew Choon Man
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Chiew Choon Man

Keberanian Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan beberapa calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kali ini, disifatkan sebagai langkah penting untuk membuka ruang kepada generasi baharu membuktikan kemampuan dan mencorakkan masa depan kepimpinan negara.


Susulan perubahan landskap politik itu, Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Chiew Choon Man berharap pengundi akan memberikan peluang kepada calon-calon muda yang berpotensi untuk membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin.


"Kita tidak harus lupa bahawa ramai negarawan Malaysia pernah diberikan tanggungjawab kepimpinan ketika usia masih muda.


"Ketika ini, kita sedang berdepan dengan satu medan digital baharu dan adalah baik untuk membawa masuk mereka yang memahami cabaran serta peluang yang hadir bersama perkembangan teknologi yang berubah dengan pantas.


"Bagi diri saya sendiri, saya amat bersyukur kerana dipilih sebagai Ahli Parlimen Miri bagi penggal pertama pada usia 31 tahun.


"Tiga tahun kemudian iaitu pada Disember 2025, saya amat berbesar hati apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk melantik saya sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Choon Man berkata, tiada pengalaman yang lebih baik selain belajar sambil melaksanakan tugas serta membina pengalaman.


"Menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merupakan satu platform permulaan yang baik untuk mereka membina jambatan antara keperluan harian rakyat dengan pemahaman terhadap dasar-dasar kerajaan.


"Saya juga berasa gembira melihat hala tuju kempen PH Melaka yang diterajui Adam Adli dan Datuk Genie Lim, yang turut menjadi tokoh dikenali di peringkat nasional ketika usia mereka masih dalam lingkungan awal 20-an.


"Keputusan kita untuk menampilkan calon yang lebih muda bertujuan memastikan wakil rakyat yang dipilih mencerminkan demografi pengundi, dan perkara ini amat relevan susulan pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran pemilih secara automatik," ujarnya lagi.


Dalam kenyataan sama, Choon Man turut menzahirkan rasa teruja apabila 30 peratus daripada calon KEADILAN dalam PRN Melaka kali ini terdiri daripada calon wanita.


Perkara itu ujarnya menggambarkan komitmen parti untuk menawarkan pilihan yang lebih inklusif kepada pengundi serta memperkukuh perwakilan wanita dalam politik negeri.


Antara calon muda yang diketengahkan pada PRN Melaka kali ini ialah Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah di DUN N.01 Kuala Linggi; Farzana Hayani Mohd Nasir di DUN N.14 Klebang; Jason Tze-Xi Nathan di DUN N.15 Pengkalan Batu dan Denesh Palasubramaniam di DUN N.10 Asahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page