top of page

Perkasakan kerjasama strategik penjagaan mata - Dr Wan Azizah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
47 minutes ago
1 min read
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar arkib
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar arkib

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam perkhidmatan penjagaan mata terus diperkasakan.


Langkah tersebut jelasnya penting bagi memastikan perkhidmatan dapat diperluas secara menyeluruh, terutamanya kepada golongan rentan serta komuniti di kawasan luar bandar.


Menurut Dr Wan Azizah, penjagaan mata secara proaktif bakal menjadi semakin penting apabila Malaysia menuju ke arah negara tua menjelang 2048, dengan lebih 14 peratus penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas.


"Masalah penglihatan yang tidak dirawat boleh memberi impak besar terhadap penjanaan ekonomi sesebuah keluarga.


"Jika tidak dirawat, keluarga bukan sahaja kehilangan sumber pendapatan utama, malah pasangan atau anak remaja mungkin terpaksa berhenti kerja atau sekolah untuk menjaga mereka," katanya dipetik laporan media.


Beliau berkata begitu ketika berucap pada majlis pelancaran awal inisiatif MySPECS, di Kuala Lumpur pada Jumaat.


MySPECS merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertujuan meningkatkan kesedaran awam, melaksanakan saringan serta menyediakan rawatan dan kawalan bagi masalah ralat refraksi.


Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut menggesa masalah penglihatan dalam kalangan kanak-kanak ditangani lebih awal memandangkannya berupaya menjejaskan pembelajaran, serta perkembangan sosial mereka.


Beliau turut menekankan kepentingan mengawal penggunaan skrin digital dalam kalangan kanak-kanak, termasuk menerusi amalan detoks digital dan galakan aktiviti luar bagi membentuk gaya hidup yang lebih seimbang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page