Perjanjian Tarif Timbal Balas AS: Tidak begitu jejaskan rakyat, golongan B40
- Suara Keadilan

- Nov 2
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tarif perdagangan sebanyak 19% yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas produk Malaysia dan barangan tertentu dari AS yang akan lebih murah di Malaysia selepas ditandatangani Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART) dianggap tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, tarif yang dikenakan oleh AS itu memberi kesan ke atas eksport dan syarikat yang menjual produk ke AS dari perspektif jangka pendek.
Bagaimanapun pada jangka panjang, beliau berpendapat, langkah tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan oleh semua negara yang mahu berdagang dengan AS.
Mengenai sebahagian produk AS yang mungkin dikurangkan cukai akibat timbal balas perdagangan, katanya, produk dari negara kuasa besar itu tidak banyak digunakan oleh golongan B40.
''Malaysia masih mengimport banyak barangan termasuk makanan dengan nilai sehingga RM90 bilion dan sebahagian besar berasal dari AS.
''Tetapi kemungkinan ia (barangan) tersebut (yang rendah tarif) akan digunakan oleh kumpulan M40 atau T20.
"Walau bagaimanapun, akan tetap ada kesannya kerana apabila kita terus membeli produk makanan contohnya seperti McDonalds, KFC dan Pizza Hut, semuanya dikira sebagai import kerana royalti dibayar ke AS,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai produk AS yang masuk ke pasaran Malaysia menjadi lebih murah, tetapi mungkin tidak menjejaskan pengusaha tempatan secara signifikan selepas ART dikuatkuasakan.
Ditanya tentang dakwaan pihak pembangkang bahawa Perjanjian ART lebih menguntungkan AS, Prof Barjoyai berkata, apabila AS mengenakan tarif harga barangan di negara tersebut yang semakin mahal kerana kos tarif itu ditanggung oleh penduduknya.

''Cuma secara tidak langsung, hal itu menyebabkan permintaan kepada barangan tersebut (produk Malaysia) di AS berkurangan dan berpotensi menyebabkan permintaan itu hilang dalam jangka panjang.
''Yang sepatutnya menjadi strategi kita adalah untuk cuba berpindah ke pasaran lain,'' katanya lagi.
Bagaimanapun katanya, sekiranya sektor semi-konduktor dikenakan cukai industri tersebut akan menjadi tidak berdaya maju kerana margin keuntungannya lebih rendah daripada 19%.
"Tetapi Alhamdulillah, mereka menjelaskan bahawa jika kita mengeksport semi-konduktor melalui syarikat milik AS yang beroperasi di Malaysia atau melalui syarikat pelaburan AS, ia tidak dikenakan cukai. Jadi buat sementara ini, kita sebenarnya berasa lega.
''Ini kerana industri semi-konduktor negara boleh terus berkembang, manakala 1,711 item yang tidak dikenakan cukai pada kadar 19% turut memberikan satu kelegaan tambahan," ujarnya lagi.









Comments