Perjanjian Damai Thailand-Kemboja: 'Kita jadi penyelaras, tidak tentukan syarat' - PM
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak akan ‘mengambil pusing’ terhadap kenyataan pegawai tentera Thailand, Rangsi Kitiyansap, yang dikatakan mengkritik beliau berkaitan Perjanjian Damai antara Thailand dan Kemboja.
Anwar menegaskan, syarat perjanjian tersebut bukanlah hasil keputusannya sendiri, sebaliknya beliau hanya bertindak membantu dalam proses penyelarasan.
"Soal Jeneral (Thailand) itu tidak bersetuju, saya tidak ada masalah. Sama ada dia ada kredibiliti atau tidak, ia tidak jadi masalah. Di sini (Parlimen) pun ramai tak setuju tentang perjanjian damai itu.
"... perjanjian damai (itu) kerana ramai yang di Kemboja menganggap Thailand itu agresif, ada juga yang dari Thailand menganggap Kemboja itu melanggar prinsip. Sebab itu kita tolong rundingkan.
"Tan Sri yang di-Pertua, kita selaraskan.. Apabila kita panggil kedua-dua Perdana Menteri (Thailand dan Kemboja), saya kata saudara tentukan, saya hanya bantu menyelaraskan dan memohon perdamaian. Mereka yang tentukan parameter bukan kita letakkan syaratnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menyatakan perkara tersebut sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau), yang meminta Anwar memberikan maklumat tambahan bagi membolehkan pihak pembangkang mempertahankan Malaysia, apatah lagi kenyataan Kitiyansap telah tersebar ke seluruh dunia.
Susulan kenyataan bekas jeneral itu, Anwar menegaskan ia adalah haknya, namun beliau mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang didakwa cuba mengangkat bekas tentera itu sebagai ‘hero’.
"Tapi kita nak jadikan dia sebagai hero ini apa dia? Ini masalahnya. Kutip pandangan di sini (Parlimen).
"Apa jua Dasar Ekonomi MADANI, kemiskinan, panggillah wakil-wakil pembangkang, ada sahaja yang bantah. Cuma tak ada populariti (kenyataan mereka mungkin tidak dipetik media).
"Kejayaan Malaysia juga dicemburui, kita tahu ada orang tak senang mengapa Malaysia sebuah negara kecil dapat perhatian dunia. Saya tak nafikan itu," katanya lagi.





