Perjanjian ART: Tidak perlu tubuh RCI, MITI terbit penjelasan, pakar bebas nilai - Yusmadi
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dicadangkan untuk menerbitkan satu kertas penjelasan rasmi bagi memperincikan skop serta implikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) susulan kontroversi yang tercetus berkaitan perjanjian antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) itu.
Cadangan tersebut diberikan oleh Mantan Ahli Dewan Negara, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (gambar) yang turut mencadangkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga diberikan taklimat penuh berhubung perjanjian yang telah dimeterai Malaysia ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu.
"Selain itu, saya mencadangkan langkah konstruktif yang membina seperti panel pakar bebas menilai implikasi undang-undang, ekonomi dan dasar.
"Dialog awam juga perlu diperluaskan, agar maklumat disebarkan secara telus. Ini lebih selaras dengan semangat ketelusan dan tadbir urus moden.
"Sebagai rakyat Malaysia yang pernah berkhidmat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, saya yakin Malaysia mempunyai kebijaksanaan dan keupayaan untuk menilai dan merunding sebarang perjanjian berdasarkan kepentingan negara, bukan tekanan luar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Mohd Yusmadi menegaskan, Perjanjian ART itu tidak menggugat kedaulatan negara, sebaliknya Malaysia kekal sebagai negara berdaulat dengan keupayaan membuat keputusan sendiri.
Katanya, apa yang diperlukan kini adalah wacana yang matang, berasaskan fakta dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Bukannya sebagaimana desakan pembangkang atau sesetengah Ahli Parlimen yang mahu ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meneliti Perjanjian ART.
"Sebagai seseorang yang terlibat dalam reformasi Parlimen, saya juga ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hanya sesuai untuk penyalahgunaan kuasa serius, kerosakan institusi, tragedi nasional dan skandal berskala besar.
"Perjanjian perdagangan yang mempunyai klausa pindaan dan klausa keluar tidak memenuhi ambang tersebut.
"Menggunakan RCI untuk setiap perjanjian antarabangsa boleh menjejaskan kestabilan dasar dan kepercayaan pelabur terhadap Malaysia," jelas beliau yang juga Mantan Ahli Dewan Rakyat.
Untuk rekod, Presiden PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali sebelum ini mendesak diadakan RCI bagi menyiasat Perjanjian ART, manakala segelintir Ahli Parlimen juga kemudian menyambut cadangan tersebut bagi memastikan butir butir perjanjian tidak menjejaskan negara.









Comments