Perjanjian ART: Tiada perkataan "kedaulatan" jadi boneka kuasa asing?
- Suara Keadilan
- 10 minutes ago
- 2 min read

Perjanjian Timbal Balas Perdagangan (ART) yang dimeterai Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dianggap oleh pengkritik boleh menjerumuskan Malaysia tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat atau jadi boneka kuasa asing dalam perdagangan.
Hal itu bagaimanapun dinafikan oleh Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Melalui satu kenyataan video, beliau berkata, tiada perkataan "kedaulatan" dalam perjanjian ART sebagaimana yang ditandatangani Kemboja tidaklah bermakna Malaysia boleh 'dijajah semula' oleh kuasa asing.
Sebaliknya, ujar beliau, setiap fasal perjanjian ART mengutamakan kepentingan serta kedaulatan negara.
"Antara perkara para perkritik selalu bangkitkan ialah ketiadaan fasa in a manner that does not fringe on Cambodia's sovereign interests.
"Walaupun dalam artikel 5.1 tak disebut secara terang perkataan sovereignty, tapi fasa di dalamnya membuktikan bahawa kedaulatan Malaysia tetap terbelihara.
"Satu, a measure with equivalent restrictive effect. Maksudnya, tak semestinya ikut apa yang Amerika Syarikat kenakan, tapi boleh gunakan langkah lain yang bersesuaian. Kedua, agree to a timeline for implementation that is acceptable to both parties. Maksudnya, garis masa pelaksanaan perlu dipersetujui bersama, bukan terus automatik kena ikut Amerika Syarikat. Dengan kata lain, Malaysia hanya perlu berbincang dengan AS, dan sekiranya Malaysia perlu melakukan tindakan perdagangan, kita boleh buat di bawah undang-undang dan peraturan domestik dengan garis masa dan mekanisme sendiri.
"Ketiga dan ini yang paling penting, to address a shared economic or national security concern. Maksudnya, untuk menangani ancaman ekonomi atau keselamatan bersama. Jadi artikel ini hanya terpakai kalau ada ancaman bersama. Tak semestinya kita ikut AS jika tiada ancaman kepada keselamatan atau ekonomi Malaysia," katanya.
Mengenai mekanisme menilai pelaburan masuk, beliau menjelaskan langkah itu penting bagi menapis risiko keselamatan nasional, termasuk sumber dana dan latar belakang pelabur.
"Kita tidak boleh hanya lihat pelaburan dari sudut keuntungan. Kita mesti nilai juga sama ada pelaburan itu melibatkan dana haram, pengubahan wang haram atau individu yang boleh mengancam keselamatan negara," jelasnya.
Tengku Zafrul turut menepis dakwaan bahawa AS akan menentukan pelaburan yang dibenarkan di Malaysia, sebaliknya keputusan tetap ditentukan kerajaan berdasarkan undang-undang tempatan.
Menurut beliau lagi, proses perolehan di bawah ART tidak melibatkan sebarang perbelanjaan kerajaan sebaliknya dibuat oleh syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Komitmen komersial di bawah Seksyen 6 perjanjian ini tiada kaitan dengan perbelanjaan kerajaan. Pembelian dibuat oleh syarikat yang sudah pun merancang perolehan masing-masing," katanya sambil merujuk kepada perolehan pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group yang diumumkan pada Mac lalu.
Tengku Zafrul turut menolak dakwaan kononnya Kementerian Luar tidak dilibatkan dalam rundingan ART.
"Kementerian Luar telah bersama kita sejak awal proses rundingan. Perjanjian penuh telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan mendapat kelulusan sebelum ditandatangani," katanya.
Mengulas isu perbandingan antara Malaysia dan Kemboja, Tengku Zafrul berkata penganalisis antarabangsa juga setuju bahawa terdapat perbezaan dari segi perjanjian di mana negara ASEAN itu menerima layanan lebih baik berdasarkan statusnya sebagai negara kurang maju.
"Bila nak bandingkan Malaysia dengan Kemboja, kita ambil kira bahawa layanan yang diberikan berbeza berbanding tahap pembangunan. Contohnya, jumlah yang AS minta kita beli lebih tinggi dari Kemboja, sebab dia pun tahu tahap kemampuan kedua-dua negara," katanya.





