top of page

Perjanjian ART: PMX letak Malaysia di landasan betul perdagangan dunia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 13 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Malaysia perlu berperanan bijak dan realistik dalam menghadapi tekanan geopolitik serta dasar perdagangan antarabangsa, khususnya melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan China, kata Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol.


Menurut beliau, AS kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor yang menjadi nadi ekonomi negara, termasuk ekonomi Pulau Pinang.


Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah melakukan perkara betul apabila menandatangani Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART) baru baru ini, dan hal itu perlu dilihat secara strategik dan bukan emosional.


"Kalau Malaysia tak tandatangan ART, ke mana kita nak alihkan jualan produk? Kalau tarif 25 peratus dikenakan, produk kita tak laku, dan banyak kilang boleh tutup.


"Malaysia mengamalkan prinsip ‘berada di tengah-tengah’, tidak memihak sepenuhnya kepada AS mahupun China, sebaliknya mengutamakan kepentingan nasional dan kelangsungan industri tempatan.

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol

"Kalau tak pandai merunding, industri semikonduktor yang kita bina sejak 1970-an boleh musnah. Tapi kerajaan hari ini berada ‘on track’, seimbang, tak terlalu negatif atau positif," katanya dalam temubual bersama Suara Keadilan.


Fahmi menegaskan bahawa Pulau Pinang yang telah menjadi hab semikonduktor serantau sejak 1970-an dan bakal menerima kesan besar sekiranya Malaysia gagal mencapai rundingan yang seimbang dan strategik dengan AS.


"Kita sedang berdepan dengan sebuah negara dagang yang besar. Kalau Malaysia gagal merunding dengan baik, industri semikonduktor yang kita bina sejak puluhan tahun boleh terjejas. Kesan ini bukan kecil ia boleh gugat ekosistem pekerjaan dan pelaburan," katanya.


Mengulas isu hasil nadir bumi atau rare earth elements (REE) yang dijadikan bahan politik oleh pembangkang, Fahmi berkata Malaysia tidak akan menjualnya dalam bentuk mentah kepada mana-mana negara termasuk AS sebaliknya akan memastikan proses pemisahan dan pemurnian dijalankan di dalam negara bagi menjamin nilai tambah serta kedaulatan ekonomi.


Fahmi berkata, pembangkang tidak wajar mempolitikkan isu perdagangan antarabangsa dengan menuduh kerajaan tunduk kepada monopoli AS, kerana Malaysia turut mempunyai perjanjian dan hubungan ekonomi erat dengan China.


Pendekatan itu katanya, mencerminkan kebijaksanaan Malaysia dalam mengurus kekayaan sumber strategik tanpa tunduk kepada tekanan geopolitik kuasa besar dunia.


"Malaysia tak jual nadir bumi mentah-mentah kepada AS. Kita proses dulu, barulah jual. Ini sama seperti kita buat dengan getah dan kelapa sawit, tanam, proses, baru pasarkan. Kita belajar daripada China bagaimana nak urus dan proses nadir bumi dengan bijak.


"Dakwaan kononnya Malaysia menjual REE terus kepada AS adalah tidak benar dan berpunca daripada salah faham pihak yang tidak bertanggungjawab.


"Malaysia sedang menyeimbangkan kedudukan antara AS dan China bagi memastikan manfaat ekonomi dikekalkan dalam negara, terutama melalui pemindahan teknologi dan pembangunan industri pemprosesan tempatan.


"Kalau hasil nadir bumi dan perdagangan dimonopoli satu pihak, bagaimana kita nak bersaing dengan China? Sebab itu Malaysia kekal di tengah," ujarnya.


Mengulas lanjut, Fahmi menyeru agar rakyat dan pemain industri melihat peluang baharu dalam bidang AI, nadir bumi dan teknologi hijau, yang bakal mencorakkan ekonomi masa depan negara.


"Seperti getah dan kelapa sawit, kita tanam, proses dan baru jual. Nadir bumi pun begitu. Malaysia ada kebijaksanaan untuk pastikan keuntungan kekal dalam negara.


"Ruang dan peluang selepas ini besar, bergantung sejauh mana kita bersedia. Kalau hanya tunggu tanpa ilmu dan penyediaan, peluang itu akan pergi kepada orang lain," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page