top of page

Perjanjian ART M'sia-AS pastikan kedaulatan negara dilindungi - Tengku Zafrul

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

DS Tengku Zafrul menjamin tiada 'garis merah' kepentingan M'sia dilanggar dalam perjanjian ART. Foto:FB Zafrul
DS Tengku Zafrul menjamin tiada 'garis merah' kepentingan M'sia dilanggar dalam perjanjian ART. Foto:FB Zafrul

Oleh: Akmal Manaf


Tarif timbal balik telah dikenakan ke atas semua negara rakan dagang Amerika Syarikat (AS), bukan sahaja negara yang mencatat lebihan dagangan dengan AS, malah negara yang mengalami defisit perdagangan dengan AS seperti Singapura, Australia dan lain-lain.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan penilaian impak dan pelbagai senario berkemungkinan, rundingan dengan AS mengambil pendekatan keseluruhan negara yang merentasi pelbagai kementerian, agensi dan sektor swasta.


Katanya, rundingan tersebut diadakan dengan matlamat untuk mencapai satu persetujuan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.


''Malaysia berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, pendekatan keseluruhan negara dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara terus dilindungi dan terpelihara.


''Pasukan perunding tidak langsung berganjak pendirian dalam perkara-perkara yang melibatkan isu-isu garis merah (red lines) khususnya hak Bumiputera, dasar perolehan Kerajaan dan tuntutan pembukaan atau liberalisasi ekuiti sepenuhnya sektor-sektor strategik negara seperti tenaga dan telekomunikasi.


''Kalau ada yang mendakwa kononnya kita ‘jual negara’, saya cabar mereka tunjuk satu klausa yang melanggar atau melepasi garis-garis merah ini. Satu pun tiada,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Tengku Zafrul menjelaskan, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat itu turut mengandungi klausa-klausa yang menjamin kedaulatan negara.


Ujarnya, pelaksanaan perjanjian adalah berdasarkan kepentingan dan keselamatan ekonomi negara serta berlandaskan undang-undang dan peraturan domestik negara.


''AS juga bersetuju supaya sebarang langkah yang ingin diambil pihaknya dalam menangani isu-isu ketidakseimbangan perdagangan haruslah melalui mekanisma rundingan bagi mencari kesefahaman bersama.


''Sebagai contoh, Artikel 5.1.1 tidak sepatutnya dilihat sebagai Malaysia secara membuta tuli mengikut apa jua sekatan AS yang dikenakan ke atas negara lain.


''Sebaliknya, peruntukan tersebut, melalui frasa 'mengikut undang-undang dan peraturan domestik' dan 'dalam garis masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak' sekali gus memberi Malaysia ruang undang-undang dan diplomatik untuk mengelak daripada mengambil tindakan ke atas negara-negara lain.


''Dengan kata lain, Malaysia hanya perlu berbincang dengan AS dan sekiranya Malaysia perlu mengambil tindakan perdagangan dan kita boleh berbuat demikian di bawah undang-undang dan peraturan domestik, dengan garis masanya dan mekanisme sendiri,'' jelas beliau lagi.


Hasil utama daripada rundingan yang mengambil masa enam bulan itu kata Tengku Zafrul merupakan kejayaan negara menurunkan kadar tarif yang dikenakan AS dari 25% kepada 19% yang merupakan kadar terendah yang dikenakan kepada negara-negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan

dengan AS.


Katanya, lebih memberangsangkan, Malaysia turut berjaya mendapatkan pengecualian dari tarif timbal balas 19% ini bagi 1,711 barisan tarif ke atas produk-produk Malaysia yang dieksport ke AS, meliputi eksport utama seperti minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal.


''Secara kolektifnya menyumbang sehingga RM22 bilion atau lebih kurang 12% daripada jumlah keseluruhan eksport negara ke negara AS pada tahun 2024.


''Ini bukan satu angka yang kecil. Justeru, perjanjian ini memastikan akses yang berterusan bagi eksport barangan Malaysia ke pasaran AS,'' ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page