top of page

Perdagangan Malaysia RM3 trilion, bukti keyakinan pelabur kepada Kerajaan MADANI

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Tze Tzin menunjukkan fakta semasa perdagangan Malaysia yang mencatat rekod tertinggi
Tze Tzin menunjukkan fakta semasa perdagangan Malaysia yang mencatat rekod tertinggi

Malaysia terus mencatat pencapaian memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, sekaligus memperkukuh kedudukan negara sebagai ekonomi berdaya tahan di peringkat global susulan rekod perdagangan antarabangsa Malaysia yang pertama kali melepasi paras RM3 trilion bagi tempoh tiga tahun (2022-2025).


Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin berkata, kejayaan tersebut adalah hasil dasar konsisten kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kestabilan dan keyakinan pelabur, melibatkan gabungan kepentingan nilai import dan eksport menunjukkan peningkatan kukuh dalam aktiviti perdagangan negara.


"Ini adalah kali pertama kita boleh mencecah RM3 trilion. Ini bermaksud perdagangan antarabangsa kita sangat sihat dan berada pada tahap yang membanggakan.


"Walaupun terdapat ketegangan geopolitik dan perang dagang antara negara besar, Malaysia masih mencatat peningkatan perdagangan yang tinggi. Ini menunjukkan ekonomi kita kekal kukuh.


"Pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) bagi tempoh 2023 hingga 2025 juga melebihi RM3 trilion secara keseluruhan.


"Pencapaian tersebut bukan sahaja berlaku sekaligus, direkodkan secara konsisten selama tiga tahun berturut-turut, membuktikan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama," katanya dalam wawancara khas bersama Suara Keadilan.


Ahli parlimen Bayan Baru itu berkata, apresiasi pencapaian ini perlu diangkat, apatah lagi ketika ekonomi global tidak menentu, termasuk ketegangan geopolitik dan perang dagang antara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China.


"Situasi tersebut lazimnya memberi kesan kepada aliran perdagangan antarabangsa. Namun, prestasi ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap Malaysia," ujarnya lagi.


Beliau turut menjelaskan kemasukan pelaburan asing memberi kesan limpahan yang besar kepada ekonomi domestik, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam rantaian bekalan industri.


"Apabila pelabur asing masuk, mereka bukan sahaja membuka kilang tetapi turut mewujudkan permintaan kepada syarikat tempatan dalam bidang pembinaan, automasi dan perkhidmatan teknikal," katanya.


Menurutnya, kerajaan juga melaksanakan dasar lokalisasi bagi memastikan manfaat pelaburan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh pemain industri tempatan.


"Kita menetapkan syarat sekurang-kurangnya 40 peratus komponen atau perkhidmatan mesti melibatkan syarikat tempatan.


"Ini membantu memperkukuh PKS dan meningkatkan keupayaan industri domestik," jelas beliau.


Beliau menegaskan, kejayaan ini membuktikan peranan penting MITI dalam merangka dasar dan strategi ekonomi negara yang mampu menarik pelabur serta memastikan pertumbuhan mampan.


"Malaysia kini bukan sahaja menjadi destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara, malah semakin dikenali sebagai hab pelaburan strategik di peringkat Asia," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page