Belanjawan 2027: MITI sasar RM12 bilion jualan eksport, manfaat 3,500 syarikat


Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan jualan eksport mencecah RM12 bilion menjelang akhir 2027 menerusi pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan MADANI 2027 bagi memperkukuh daya saing industri dan memperluas pasaran global syarikat tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata usaha kementerian itu tertumpu kepada tiga bidang utama, iaitu pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), transformasi industri serta pengukuhan eksport negara.
Menurutnya, strategi berkenaan selaras dengan Lunas Keenam Belanjawan MADANI 2027, iaitu Memecah Siling Keupayaan Ekonomi, bagi meningkatkan keupayaan syarikat tempatan dan merangsang pewujudan peluang pekerjaan.
Bagi memperkasa PMKS, katanya, MITI menyediakan Geran Bantuan Pensijilan Halal sehingga RM5,000 bagi pemohon kali pertama dan RM25,000 bagi sektor bernilai tinggi untuk membantu syarikat memenuhi keperluan pensijilan serta memperluas akses pasaran.
"Inisiatif ini menyasarkan 4,000 syarikat, dengan unjuran peningkatan jualan antara 20 hingga 30 peratus serta penciptaan sehingga 8,000 peluang pekerjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Usaha itu turut disokong kemudahan jaminan pembiayaan dan insentif potongan cukai korporat bagi membantu PMKS mengembangkan perniagaan serta menembusi pasaran global.
Dalam aspek transformasi industri, MITI akan memperkukuh pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menerusi Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) dan Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF), masing-masing dengan peruntukan RM200 juta.
Sim berkata, jumlah keseluruhan RM400 juta itu bertujuan mempercepat penerapan automasi, teknologi penyahkarbonan dan kejuruteraan termaju dalam kalangan pengilang tempatan.
CoSIF turut menggalakkan pelaburan bersama sektor awam dan swasta dalam industri berimpak tinggi seperti kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu serta inovasi bahan termaju bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.
Beri manfaat 3,500 syarikat
Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menerajui pelaksanaan Program Pembinaan Kapasiti Eksport bernilai RM60 juta dan Dana Pengukuhan Eksport dan Pempelbagaian Pasaran berjumlah RM50 juta.
Inisiatif berkenaan turut disokong kemudahan pembiayaan RM1 bilion daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan RM10 juta menerusi EXIM Bank.
Melalui pelaksanaan 200 aktiviti promosi eksport, program itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,500 syarikat tempatan dengan sasaran jualan eksport RM12 bilion menjelang akhir tahun depan.
Dalam usaha memudahkan urusan perniagaan, MITI turut mempergiat kerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (STAR) bagi mengurangkan kerenah birokrasi.
Menurut Tze Tzin, reformasi peraturan berkenaan setakat ini berjaya menjimatkan kos pematuhan industri sebanyak RM3.71 bilion selain mempercepat proses kelulusan lesen perniagaan.
Pada masa sama, MITI memberi penekanan kepada pembangunan kluster perindustrian wilayah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang di seluruh negara.
"Fokus ini merangkumi inisiatif strategik kementerian dalam menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan hab automotif dan maritim di Perak, pengukuhan ekosistem teknologi cip semikonduktor di Pulau Pinang dan Kedah, pembesaran infrastruktur koridor perdagangan di Perlis, serta kerangka perancangan Zon Ekonomi Khas di Sibu, Sarawak," katanya.
Tambah Tze Tzin, pelaksanaan strategi secara menyeluruh dan bersepadu itu diyakini mampu meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serantau serta hab perdagangan global yang mampan.




Comments