top of page

Percepat peralihan tenaga, kurangkan kebergantungan bahan api fosil

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Malaysia perlu segera mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama dengan mempercepat peralihan tenaga mengikut Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) seperti solar dan hidro.


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir (gambar) berkata, NETR bukan sahaja bertujuan mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil malah juga memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga domestik.


"Tenaga boleh baharu (TBB) mempunyai kelebihan kerana bersifat domestik justeru, tidak bergantung dari segi import bahan bakar dan tidak terganggu dari sudut rantaian bekalan tenaga secara keseluruhan," katanya dipetik laporan media.


Beliau sebelumnya mengulas saranan ahli akademik mengenai keperluan negara mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama susulan konflik Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak global dan mengakibatkan kenaikan harga.


Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, Malaysia kini mempunyai kira-kira 25% kapasiti terpasang daripada sumber boleh baharu dan sedikit daya tahan terhadap sebarang gangguan bekalan tenaga.


Kerajaan sentiasa menilai langkah untuk mempercepat proses peralihan tenaga selari saranan pakar ekonomi dan akademik bagi memastikan negara lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.


"Penggunaan TBB seperti solar, membolehkan Malaysia menjana tenaga secara berterusan selagi sumber semula jadi tersedia, sekali gus menyokong sasaran pelepasan sifar karbon dan kelestarian tenaga negara," tambahnya.


Ketegangan keselamatan maritim di Selat Hormuz susulan konflik ketenteraan Amerika Syarikat (AS) - Israel dan Iran yang kian meruncing menimbulkan kebimbangan terhadap akibat gangguan berpanjangan ke atas bekalan minyak dan gas global.


Minggu lalu, harga minyak melonjak kepada hampir AS$120 setong berikutan gangguan pengeluaran di Arab Saudi dan negara Teluk lain termasuk Bahrain, Qatar dan Kuwait kerana infrastruktur tenaga diserang dan kapal tidak dapat melalui Selat Hormuz.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page