top of page

Percaturan Politik: Konflik Menguntungkan Siapa?


Oleh: Ya Asrul Yaman Kijas


ULASAN: Konflik politik yang berlaku ketika ini akan menguntungkan siapa? Di antara tokoh-tokoh politik ini, pasti akan ada impak sama ada positif mahupun negatif terhadap mereka secara langsung dan juga parti mereka secara tidak langsung. Menerusi penelitian dan pembacaan penulis, tokoh-tokoh politik ini akan terkesan dengan percaturan politik ini. Nama yang disokong mereka untuk menjadi Perdana Menteri (PM) akan menentukan masa depan politik mereka dan negara.


Tan Sri Mahiaddin Yassin


Jelas karier politik untuk Mahiaddin Yassin berakhir dengan perletakan jawatan sebagai PM Malaysia. Harapan tipis untuk beliau dilantik semula melalui kerjasama parti-parti Umno dengan Perikatan Nasional (PN) semata-mata. Ini kerana yang menjatuhkan beliau ialah parti Umno. Sekiranya Mahiaddin ingin disokong semula menjadi PM, sokongan daripada pihak pembangkang perlu diperoleh agar perkara yang sama tidak berulang lagi. Beliau memerlukan sokongan yang lebih baik dari 115 Ahli Parlimen agar kedudukannya dilihat kukuh oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).


Sekiranya calon PM bukan dari Bersatu, tugas berat menanti presiden parti Bersatu, Mahiaddin Yassin untuk mengepalai Bersatu agar terus relevan selepas PRU 15 nanti.


Namun untuk memastikan survival Bersatu dan terus relevan, apakah tindakan dan strategi paling terbaik untuk Bersatu?


Adakah Bersatu di bawah gabungan PN perlu terus bekerjasama dengan Umno dan menyokong PM calon Umno atau kembali semula ke meja rundingan bersama rakan-rakan lama yang mereka khianati dahulu - Pakatan Harapan?


Ya Asrul Yaman Kijas

Umno hanya memerlukan tempoh 17 bulan untuk menjatuhkan Mahiaddin dan cuba menerajui kembali tampuk pemerintahan negara. Sejarah pernah membuktikan Umno pernah mengambil alih Kelantan selepas berjaya menyingkirkan Pas selepas mereka bekerjasama di dalam kerajaan. Pas berpecah kepada beberapa serpihan parti. Bagaimana pula nasib survival Bersatu?


Datuk Seri Zahid Hamidi


17 bulan menjadi kerajaan dengan menyokong PN sebagai presiden parti terbesar di dalam gabungan memberikan pengajaran kepada beliau. Pengajaran yang besar buat beliau ialah kuasa seorang presiden parti akan bertembung dengan kuasa seorang Perdana Menteri. Ini merupakan cabaran besar buat Presiden Umno kerana selama ini Presiden Umno mengepalai parti bersama-sama dengan kuasa sebagai PM.


Hari ini terbongkar bagaimana Pendaftar Pertubuhan (ROS) digunakan pihak kerajaan untuk menekan Umno agar Zahid Hamidi dapat diketepikan.


Saya percaya sekiranya PM kali ini daripada Umno tetapi bukanlah Presiden Umno, Ismail Sabri atau Hishamuddin Hussein misalnya. Saya yakin, perkara utama yang perlu dilakukan adalah memastikan parti Umno membuat pemilihan parti dan mengangkat Perdana Menteri yang dipilih ketika krisis ini menjadi presiden Umno, ini bagi membolehkan beliau mendapat mandat sebagai PM selepas PRU 15 diumumkan.


Sekiranya calon PM bukan presiden Umno, maka cabaran seperti mana 17 bulan untuk mengemudi Umno sekali lagi akan dirasai Zahid Hamidi. Pergolakan dalaman parti dan kumpulan-kumpulan yang menyokong presiden dan menyokong Perdana Menteri akan jelas kelihatan.


Umno perlu mendapatkan sokongan rakan komponen daripada Perikatan Nasional agar menyokong Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.


Datuk Seri Ismail Sabri


Ismail Sabri dinaikkan oleh PN sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ianya bukanlah daripada cadangan Umno. Oleh itu, Ismail Sabri perlu mendapatkan restu dan mandat daripada Umno untuk menyalahi tradisi dengan menjadi satu-satunya Perdana Menteri yang merupakan bukan Presiden Umno.


Kepercayaan dan kesetiaan kepada presiden dan parti juga harus dilihat dan dibuktikan oleh Ismail Sabri. Namun baru-baru ini, apabila beliau bersama rakan-rakan menteri yang lain berkumpul menyatakan sokongan terhadap PM Mahiaddin Yassin memberikan

satu isyarat bahawa Ismail Sabri tidak akan mengikuti keputusan yang dicapai oleh Majlis Tertinggi parti.


Ini akan menyusahkan parti dan ahli jika Ismail Sabri bertindak mendahulukan dan mementingkan PN yang telah mengangkat beliau.


Datuk Seri Anwar Ibrahim


Ketua pembangkang yang mempunyai sokongan solid daripada Pakatan Harapan ini perlu merangkul seramai mungkin Ahli Parlimen daripada Umno, PN, GPS atau siapa sahaja untuk menyokong beliau bagi mencukupkan bilangan majoriti. Pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan yang pernah dikongsikan beliau adalah tawaran untuk rakyat melihat kemampuan beliau mentadbir dan mengurus negara.


Tawaran kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain perlulah menarik minat dan menguntungkan semua pihak. Sekiranya Anwar Ibrahim gagal mendapatkan sokongan Ahli Parlimen sekarang, PRU 15 nanti akan menjadi cabaran besar kepada Pakatan Harapan untuk berdepan semula dengan Umno-Perikatan Nasional. Pengundi atas pagar akan mengimbau semula detik pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan walaupun ianya bukan ditabdir dan diuruskan oleh Anwar Ibrahim.


Tun Mahathir Mohamad


Pejuang yang mempunyai 4 orang Ahli Parlimen menyebabkan ianya sukar untuk menjadi kuasa besar perbincangan parti-parti walaupun Tun seorang tokoh politik legenda.


Tambahan pula Tun lebih berminat untuk menubuhkan MAGERAN. Oleh itu, saya jangkakan MAGERAN hanya akan berlaku sekiranya tiada seorang pun mendapat majoriti sokongan sebagai Perdana Menteri dan ianya tidak semestinya Tun sebagai ketua atau pengerusi kepada MAGERAN tersebut.


Nasib Bekas Umno di dalam Bersatu


Nama-nama seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Mas Ermieyati Samsuddin dan lain-lain Ahli Parlimen Umno yang melompat ke dalam Bersatu, akan menghadapi kesukaran sekiranya Umno kembali menerajui negara.


Hendak kembali semula kepada Umno, sudah tentu akar umbi sukar untuk menerima mereka kembali. Saya percaya PRU 15 nanti, Umno tidak akan menyerahkan kerusi-kerusi ini kepada Bersatu kerana jelas mereka menang atas tiket Umno maka Umno masih lagi kuat di kerusi tersebut walaupun berlaku ribut tsunami pilihan raya di seluruh negara pada PRU 14 yang lalu.


Mereka yang pernah meninggalkan Umno dan melompat kepada Bersatu ini perlu mencari jalan terbaik sama ada ingin menyokong Umno menjadi Perdana Menteri atau membuat satu keputusan strategi baharu dengan menyokong Pakatan Harapan.


Setiap sokongan Ahli Parlimen menentukan Perdana Menteri seterusnya dan ia juga menentukan masa depan politik mereka.


Penutup


Ini adalah pandangan peribadi saya tentang tokoh-tokoh politik yang terlibat di dalam krisis politik ini dan sejauh mana kesan dan impak krisis ini terhadap tokoh-tokoh yang saya nyatakan terebut.

_________________________________________________________________________________


Penulis merupakan penyelidik di Nusantara Academy for Strategic Research

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page