top of page

Perang mazhab Iran–Israel tidak tepat, pemerintah Arab pertahan kuasa

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 days ago
  • 2 min read

Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu menegaskan bahawa konflik yang tercetus antara Iran - Israel dan Amerika Syarikat (AS) tidak wajar ditafsirkan sebagai peperangan mazhab, sebaliknya berpunca daripada kepentingan kuasa dan percaturan politik antarabangsa.


Beliau berkata dunia menyaksikan tindakan agresif apabila Israel bersama AS melancarkan serangan mengejut ke atas Iran ketika rundingan sedang berlangsung di Geneva, dua minggu lalu.


Menurutnya, serangan tersebut melibatkan ratusan jet pejuang dan turut mengorbankan kepimpinan tertinggi Iran, Ali Khamenei selain menyebabkan banyak korban awam termasuk kanak-kanak sekolah.


"Ada pihak cuba menggambarkan konflik ini sebagai peperangan mazhab, kononnya kebangkitan Syiah. Bagi saya, tafsiran itu tidak tepat dan terlalu simplistik," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohamad berkata, jika konflik itu benar-benar berkait dengan mazhab, persoalan timbul mengapa banyak negara Arab Sunni tidak menyokong Iran mengebom Israel walaupun isu Palestin yang bermazhab Sunni telah lama berlarutan sejak Nakba 1948, yang menyaksikan ratusan ribu rakyat Palestin diusir dari tanah air mereka.


Menurutnya, sejarah juga menunjukkan bahawa pertimbangan kuasa sering mengatasi sentimen mazhab. Beliau memberi contoh tokoh pemikir Islam Sunni Syed Qutb yang dihukum gantung oleh pemerintah yang bermazhab Sunni, manakala pengasas Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Banna turut terbunuh dalam konflik politik di Mesir yang sama sama bermazhab Sunni.


"Apabila Ikhwanul Muslimin memenangi pilihanraya secara demokratik di Mesir (2011) dan Mohamed Morsi dilantik sebagai presiden, kerajaan itu digulingkan dengan sokongan dan pembiayaan daripada negara-negara Arab Sunni sendiri," katanya.


Menurut beliau, situasi tersebut menunjukkan bahawa isu sebenar dalam konflik geopolitik hari ini lebih berkait dengan kepentingan politik serta kelangsungan pemerintahan berbanding perbezaan mazhab.


"Realitinya, konflik hari ini bukan soal Syiah atau Sunni. Ia soal kepentingan kuasa (pemerintah Arab) dan kelangsungan pemerintahan mereka," katanya.


Mohamad turut mengingatkan bahawa naratif sektarian sering digunakan bagi memecah-belahkan umat Islam dan mengaburkan isu sebenar berkaitan keadilan serta kemanusiaan.


"Umat Islam melihat pemerintah Arab Sunni lebih bimbang kehilangan takhta sekiranya berdepan Israel dan Amerika Syarikat, berbanding mempertahankan prinsip keadilan sejagat," katanya.


Katanya, sejarah mengajar bahawa tidak semua manusia akan bersatu dalam satu pendirian. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah berdepan penentangan dan ancaman pembunuhan.


"Oleh itu, menuduh bahawa peperangan Iran–Israel adalah peperangan mazhab amat tidak tepat. Mazhab hanya dijadikan alasan. Hakikatnya, pertimbangan politik dan kepentingan kuasa lebih dominan daripada sentimen sektarian," katanya lagi.


Bagi Mohamad, hal yang perlu ditegaskan ialah prinsip keadilan dan kemanusiaan, bukan sentimen mazhab yang diputar untuk mengaburkan isu sebenar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page