Aidilfitri: Kerajaan Madani beramanah, kembalikan hasil kepada rakyat
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Madani terus membuktikan komitmen beramanah dalam mengurus hasil negara dengan mengembalikannya kepada rakyat, khususnya ketika tekanan kos sara hidup masih dirasai.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim berkata, keprihatinan Kerajaan diterjemahkan kepada pelbagai bantuan Aidilfitri tahun ini untuk meringankan bebanan rakyat.
"Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi tentang keluarga, pengorbanan dan harapan. Dalam keadaan rakyat berdepan kos sara hidup, Wanita KEADILAN menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan rakyat, bukan kepentingan segelintir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan tidak sekadar berjanji, malah melaksanakan langkah konkrit termasuk pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus bagi meringankan beban rakyat pulang ke kampung sempena perayaan.
Selain itu, pelaksanaan pelepasan kebankrapan secara “Fast Track” yang melibatkan lebih 4,000 individu turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memberi peluang kedua kepada rakyat. Begitu juga subsidi bahan api RON 95 berjumlah RM2 bilion sebulan.
"Subsidi RM2 bilion sebulan bagi mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter menunjukkan komitmen kerajaan terus melindungi rakyat daripada tekanan kenaikan harga minyak," ujarnya.
Dalam pada itu, Wanita KEADILAN turut memuji pendekatan kepimpinan berintegriti yang mengutamakan pengurangan pembaziran, termasuk mengehadkan penganjuran program sambutan perayaan secara berlebihan.
"Wanita KEADILAN menegaskan bahawa tadbir urus berhemat dan beramanah membolehkan hasil negara disalurkan semula kepada rakyat secara lebih berkesan, sekali gus memastikan manfaatnya dirasai secara menyeluruh," katanya.
Menurut Ginie Lim, hal yang dilakukan oleh PM Anwar bukanlah sekadar pentadbiran tetapi satu perjuangan untuk memastikan hasil negara kembali kepada rakyat serta membina Malaysia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.



Comments