Tabung Haji agih untung 3.50%, kadar tertinggi sejak usaha pemulihan 2018
- Helmi Mohd Foad

- Mar 18
- 2 min read

Lembaga Tabung Haji (TH) terus memacu prestasi memberangsangkan selepas hampir lapan tahun melakukan usaha pemulihan sekali gus mampu meningkatkan pengagihan keuntungan kepada sebanyak 3.50% pada tahun ini.
Kadar yang diumumkan selepas ditolak zakat 2.577% bagi tahun kewangan 2025 itu meningkat sebanyak 0.25% sekali gus menyaksikan ia merupakan yang tertinggi sejak 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata keseluruhan agihan keuntungan itu berjumlah RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH.
Agihan keuntungan tersebut akan dikreditkan ke pemegang akaun TH bermula pukul 10 pagi pada 19 Mac (Khamis), menurut beliau.
"Syukur Alhamdulillah, TH menunjukkan prestasi cemerlang setelah melalui waktu sukar suatu waktu dahulu.
"Perancangan dan strategi pemulihan dan pengukuhan telah menunjukkan hasil positif hanya dalam masa yang singkat. Setinggi tahniah kepada TH dan semua pendeposit TH," kata beliau dalam hantaran di Facebook selepas mengumumkan kadar keuntungan TH bagi tahun kewangan 2025 di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Jabatan Kewangan TH Shamsul Bahar Shamsudin.
Menurut data TH, sejak penubuhan agensi itu lebih enam dekad lalu, jumlah kumulatif agihan keuntungan kepada pendeposit telah mencecah RM49 bilion.
Terdahulu pada sidang medianya, Zulkifli menjelaskan TH berjaya mencatat pendapatan pelaburan tertinggi sebanyak RM4.64 bilion pada 2025 berbanding RM4.56 bilion bagi tahun sebelumnya.
"Pada keseluruhannya, kedudukan kewangan Tabung Haji kekal kukuh dengan jumlah aset sebanyak RM98.58 bilion, melebihi jumlah liabilitinya berjumlah RM95.63 bilion," katanya.
Zulkifli turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM95.3 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi pihak pendeposit tahun 2025.
"Sehingga kini, jumlah zakat yang telah dilunaskan oleh Tabung Haji bagi pihak pendeposit mencecah RM1.57 bilion sekali gus memperkukuh usaha untuk membantu golongan asnaf," katanya.
Sebagai institusi tunggal pengurusan simpanan jemaah haji, TH telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam di negara ini menunaikan rukun Islam kelima itu.




Comments