Perang Iran: Usaha evakuasi rakyat Malaysia sedang diatur - Wisma Putra
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Kementerian Luar (Wisma Putra) sedang mengusahakan evakuasi rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa buah negara akibat konflik di Asia Barat.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kerjasama sedang diatur melibatkan beberapa pihak termasuk Perwakilan Diplomatik Malaysia, kerajaan di negara terjejas serta syarikat penerbangan.
"Kementerian akan memastikan usaha evakuasi ini dilaksanakan dengan sebaiknya dengan kerjasama semua pihak berkaitan demi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia.
"Rakyat Malaysia digesa segera mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia terdekat, atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my, bagi memudahkan penyelarasan evakuasi tersebut
"Usaha evakuasi ini juga meliputi rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air, berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar," kata kenyataan tersebut.
Menerusi kenyataan tersebut Wisma Putra turut menyarankan rakyat Malaysia di negara-negara terjejas sentiasa mengamalkan tahap kewaspadaan tinggi, mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam, serta mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Warganegara Malaysia juga dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke negara yang terjejas oleh konflik berkenaan.
"Nasihat ini juga terpakai kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengerjakan umrah atau ziarah.
"Nasihat perjalanan ini akan terus berkuatkuasa sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kelak. Sehubungan itu, Kementerian memohon kerjasama dan kefahaman semua pihak, termasuk agensi pelancongan," katanya lagi.




Comments