Perang Iran: Kerajaan komited kekalkan RON95 bersubsidi RM1.99 seliter
- Suara Keadilan

- Mar 4
- 1 min read

Kerajaan komited mengekalkan harga subsidi bahan api RON95 pada RM1.99 seliter meskipun harga minyak mentah Brent meningkat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) dipetik laporan media berkata, kerajaan tidak akan membuat perubahan drastik terhadap dasar harga bahan api domestik seperti yang berlaku di negara jiran.
"Dari segi pendapatan PETRONAS itu akan memberi pulangan yang lebih tinggi. Cuma tindak balas pula jumlah subsidi yang terpaksa disalurkan. Komitmen dari Perdana Menteri sangat jelas. Cuma, sudah pasti pasaran sedang berubah-ubah," katanya.
Akmal Nasrullah berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri Forum CEO OGSE100 Tahun Ke-3 2026 di ibu negara, semalam.
Minyak mentah Brent meningkat kepada AS$77.8 setong iaitu lebih 6.8 peratus, paras tertinggi sejak Jun 2015 susulan ketegangan di Asia Barat.
Perdana Menteri, sebelum ini dilapor berkata kerajaan bertekad mempertahankan harga petrol RON95 bagi program Budi MADANI RON95 (BUDI95) meskipun berdepan kenaikan harga minyak global susulan sekatan ke atas Selat Hormuz
Sementara itu menurut Akmal Nasurllah, mekanisme pelaksanaan bagi merealisasikan komitmen yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih perlu diperincikan di bawah Kementerian Kewangan (MOF).
"Kita tahu bahawa di Malaysia dah laksanakan program subsidi bersasar, yang mengekalkan harga yang munasabah kepada rakyat melalui mekanisme sedia ada
"MOF sedang meneliti aspek perbelanjaan subsidi berikutan harga minyak mentah Brent yang melepasi penanda aras ditetapkan sebelum ini," tambahnya.




Comments