top of page

KEADILAN letak calon boleh menang, tawar tadbir urus lebih baik untuk Johor

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

KEADILAN menegaskan penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar untuk bertanding, sebaliknya bertujuan memenangi mandat rakyat bagi membentuk kerajaan dan mentadbir negeri dengan lebih baik.


Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, penyertaan dalam pilihanraya mesti diikuti tanggungjawab untuk menawarkan pentadbiran yang lebih berkesan serta membawa agenda reformasi yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.


"Kalau masuk pertandingan bukan untuk menang, apa maksudnya? Kita perlu menang untuk mentadbir. Kita mahu melaksanakan polisi yang baik dan membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat," katanya dalam wawancara khas bersama Suara Keadilan.


Beliau berkata dalam menghadapi PRN Johor, KEADILAN turut menekankan kepentingan memilih calon yang mempunyai peluang tinggi untuk menang atau winnable candidate.


Menurutnya, pemilihan calon tidak boleh dibuat berdasarkan satu faktor semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk rekod kerja, penerimaan masyarakat, faktor lokaliti serta kesesuaian dengan demografi kawasan.


"Yang paling penting ialah calon yang boleh menang. Rakyat hari ini semakin bijak dan semakin menilai. Parti itu penting tetapi calon juga memainkan peranan besar dalam menentukan sokongan pengundi," katanya.


Beliau menjelaskan calon tempatan yang dikenali dan aktif berkhidmat kepada masyarakat lazimnya mempunyai kelebihan, namun faktor itu bukan satu-satunya penentu kemenangan.


Selain itu, komposisi pengundi mengikut kaum, umur dan latar belakang kawasan turut perlu diberi perhatian dalam menentukan calon yang paling sesuai diketengahkan.


Kata Dr Zaliha kawasan yang mempunyai peratusan pengundi mengikut bangsa tertentu misalnya, faktor representasi komuniti boleh menjadi antara pertimbangan manakala kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar memerlukan pendekatan berbeza berdasarkan corak pengundian masing-masing.


Selain itu kata beliau, faktor calon wanita juga tidak boleh dipandang ringan kerana mampu menjadi nilai tambah kepada parti dalam menarik sokongan pengundi tertentu.


"Faktor wanita juga penting dan boleh menjadi antara faktor dominan. Begitu juga dengan calon muda di kawasan yang mempunyai peratusan pengundi muda yang tinggi," katanya.


Menurutnya, kawasan majoriti Melayu sama ada di bandar mahupun luar bandar mempunyai dinamika tersendiri yang perlu difahami secara mendalam oleh parti-parti yang bertanding.


Di kawasan bandar, khususnya yang mempunyai ramai pengundi muda, calon muda dilihat berpotensi memberi kelebihan kerana lebih dekat dengan aspirasi generasi baharu.


Sementara itu, kawasan luar bandar dan tradisional memerlukan calon yang memahami isu setempat serta mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat akar umbi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page