Perang Iran: AS tuai apa disemai, impak besar keselamatan, ekonomi dunia
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Amerika Syarikat (AS) kini “sedang menuai apa yang disemai” selepas secara terbuka mengabaikan undang-undang antarabangsa dan melemahkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila melakukan serangan terhadap Iran awal bulan ini.
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin Shah berkata tindakan ketenteraan AS dan Israel itu sebagai langkah tidak bertanggungjawab yang membawa implikasi besar terhadap keselamatan serantau dan ekonomi global.
"AS sedang menuai apa yang disemai apabila ia secara terbuka mengabaikan undang-undang antarabangsa dan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti yang dilihat sebelum ini di Gaza, Venezuela dan kini Iran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Raja Bahrin turut mempersoalkan standard yang digunakan oleh Barat apabila berharap Iran dapat menahan diri daripada bertindak balas.
"Bagaimana pihak Barat mengharapkan Iran atau mana-mana negara untuk tidak bertindak balas apabila ketua agama negara mereka dibunuh ketika rundingan dengan AS sedang berlangsung?

"Serangan yang sama juga berlaku kira-kira enam bulan lalu di tengah-tengah satu lagi rundingan dengan AS. Déjà vu, sesiapa?" katanya.
Raja Bahrin juga berkata, sebuah sekolah perempuan di Iran menjadi sasaran pada hari pertama serangan negara kuasa besar itu bersama sekutunya Israel.
"Bagaimana mana-mana negara akan bertindak apabila sebuah sekolah perempuan disasarkan sehingga membunuh lebih 160 pelajar pada hari pertama serangan AS-Israel ke atas Iran?
"AS sepatutnya menjadi juara hak wanita Iran terhadap pendidikan dan kebebasan, namun mereka memilih untuk memusnahkan sebuah sekolah perempuan di Iran dan meragut kira-kira 160 nyawa," bidasnya.
Menurut beliau, tindak balas Iran kemudian dilabel sebagai tidak seimbang oleh sekutu NATO.
“Apabila Iran memutuskan untuk membalas pembunuhan Ayatollah Khamenei, pemimpin tertinggi mereka, serta 160 pelajar perempuan di sebuah sekolah, sekutu NATO dari Britain, Perancis dan Jerman menuduh Iran menggunakan kekerasan yang tidak seimbang. Ini adalah logik Barat yang songsang," katanya.
Raja Bahrin juga mempersoalkan motif sebenar kemarahan negara-negara Barat. Katanya, kemarahan mereka lebih berpunca daripada kebimbangan ekonomi kapitalis akibat kenaikan harga minyak dan gas, berbanding kehilangan nyawa manusia.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu juga mendakwa Washington pada waktu ini bertindak tanpa strategi jelas dan tunduk kepada tekanan Israel.
"AS tidak memikirkan pelan perang atau pelan keluar yang jelas ketika menyerang Iran kerana tekanan mendesak daripada Israel.
"Kini mereka mendapati Iran sebagai musuh yang sangat berdaya tahan dan tidak bersedia menghadapi serangan balas apabila pangkalan tentera dan kedutaan AS bersama sekutu Teluknya diserang oleh Iran," katanya.
Beliau juga berkata, “Ahli-ahli Senat AS sangat marah kerana kelulusan Kongres tidak diperoleh apabila Trump hanya mendengar suara Israel.”
Raja Bahrin turut memetik kenyataan Senator Demokrat, Chuck Schumer di CNN yang menyatakan bahawa setiap hari Rumah Putih mengeluarkan alasan yang berbeza untuk serangan tersebut iaitu daripada isu bom nuklear Iran, kepada peluru berpandu balistik dan kemudian kepada perubahan rejim, sekali gus menunjukkan kekurangan keselarasan dalam perancangan.
Sehubungan itu, Raja Bahrin berkata, kesan pasti daripada perang yang dicipta AS itu ialah implikasi ekonomi global serta risiko ketidakstabilan rantau Teluk yang lebih luas.
"Menghadapi serangan balas hebat Iran terhadap sekutu AS di Teluk, kemudahan minyak dan gas serta Kedutaan AS, kesan ekonomi global amat besar untuk ditanggung oleh seluruh dunia akibat tindakan tidak bertanggungjawab AS yang tunduk kepada paksaan Israel," bidasnya.




Comments