top of page

Selangor kukuh kesiapsiagaan hadapi fenomena El Nino

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 14
  • 2 min read

Negeri Selangor terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi memastikan bekalan air kekal terjamin susulan fenomena El Nino yang diramal bermula bulan ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelbagai langkah telah dirancang menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi berkaitan. Ia antaranya kawalan pelepasan air empangan serta pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) bagi mengelakkan pencemaran sumber air.


Menurut beliau, paras air empangan turut dipantau setiap hari menerusi Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Air Bersepadu (IWRIMS), manakala Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) terus diperkukuh sebagai sumber air alternatif.


"Turut dilaksanakan ialah operasi pemantauan dan mitigasi 24 jam oleh Skuad Elit Air LUAS (SKEAL), selain Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM)," katanya dipetik sempena sambutan Hari Air Sedunia 2026 peringkat Selangor dan Hari Rendah Karbon di Pantai Kelanang, Kuala Langat, pada Sabtu.


Teks ucapan Amirudin dibacakan Exco Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin.


Fenomena El Nino dijangka menguat menjelang hujung tahun ini berpotensi memberi kesan kepada sektor pertanian, kesihatan serta alam sekitar di Malaysia.


Pakar meteorologi Universiti Malaya (UM) Prof Emeritus Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, berdasarkan ramalan Pusat Ramalan Iklim (CPC) di bawah Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), fenomena itu menyebabkan taburan hujan berkurangan antara 10 hingga 20 peratus daripada purata.


Dalam pada itu, Amirudin menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan dan kualiti sumber air terbaik terus dinikmati rakyat.


Katanya, usaha memelihara kelestarian sumber air turut dipertingkat menerusi langkah pencegahan terhadap pencemaran yang boleh menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA).


Antara langkah yang dilaksanakan ialah pemantauan bersasar di sungai-sungai menerusi Program Pemantauan Sungai (River Monitoring Program) bagi mengenal pasti punca aliran buangan daripada kawasan pembangunan, komersial, industri dan kawasan sekitarnya.


Selain itu, Selangor kini menggunakan teknologi satelit untuk memantau sumber air dengan lebih meluas bagi mengesan aktiviti guna tanah yang berisiko mencemarkan sungai.


Langkah itu membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih pantas berdasarkan data yang tepat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page