top of page

Perancangan baharu PADU diumum hujung April - Menteri Ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 1
  • 1 min read

Kerajaan bakal memperincikan hala tuju seterusnya bagi sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menjelang hujung April ini selaras usaha memperkukuh pendekatan berasaskan data selaras keperluan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


"PADU kekal sebagai komponen penting dalam memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan data, di samping menambah baik pelaksanaan sedia ada tanpa menimbulkan kekeliruan.


"Langkah itu sedang diperhalusi bagi memastikan PADU kekal relevan sebagai platform utama yang menyokong pelaksanaan dasar dan program kerajaan secara menyeluruh," kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) dipetik.


Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Seminar Pemetaan Peluang Strategik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Melalui RMK13, di Putrajaya pada Selasa.


Akmal menerusi hantaran di laman X miliknya pada Isnin menegaskan, mandat PADU adalah untuk menyokong pelaksanaan dasar dan program kerajaan berasaskan data melalui kerjasama rentas kementerian, termasuk Kementerian Digital, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.


"PADU tidak boleh terikat kepada satu-satu program kerajaan sahaja. Sebaliknya, potensinya perlu terus dikembangkan," jelasnya.


Dalam perkembangan berasingan Akmal memaklumkan, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.


Beliau berkata Bank Negara telah mengeluarkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun ini, iaitu sekitar empat hingga lima peratus.


"Dengan unjuran tersebut, tumpuan adalah untuk memastikan kegiatan ekonomi terus berlangsung serta pertumbuhan dapat dikekalkan dengan baik," katanya.


Semalam, bank pusat mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara empat hingga lima peratus tahun ini, meningkat berbanding unjuran empat hingga 4.8 peratus pada 2025.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page