top of page

Akta Tahanan Rumah belum ada – Saifuddin

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
46 minutes ago
2 min read

Cadangan menggubal Akta Tahanan Rumah pada asalnya dirangka sebagai mekanisme untuk mengurangkan kesesakan penjara, khususnya membabitkan tahanan reman, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Beliau berkata, Malaysia ketika ini belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah, namun cadangan berkenaan sebelum ini sudah mendapat persetujuan dasar Kabinet untuk dibawa ke Parlimen.


"Kita belum ada undang-undang mengenai tahanan rumah. Tempoh hari saya berura-ura untuk membuatnya khusus untuk tahanan reman. Tahanan reman yang menjadi punca kesesakan penjara.


"Tahanan rumah adalah satu mekanisme yang menjadi amalan oleh jabatan penjara seluruh dunia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan penjara, terutama oleh tahanan reman," katanya kepada pemberita.


Menurut Saifuddin, penghuni penjara bukan semuanya telah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman, terdapat juga tahanan reman yang masih dalam proses perbicaraan.


"Penghuni penjara ini ada dua. Satu, mereka yang sudah disabitkan hukuman, sudah masuk proses rayuan, kalah semua proses rayuan, yang mereka menjalani hukuman, mereka menjadi penghuni penjara.


"Satu lagi adalah mereka belum lagi selesai proses pengadilan, iaitu mereka baru dituduh tetapi pertuduhan itu sama ada pertuduhan yang tak membolehkan mereka diikat jamin atau pertuduhan itu boleh diikat jamin tetapi mereka gagal menyediakan ikat jamin. Mereka ini tahanan reman," katanya.


Beliau berkata, gabungan kedua-dua kategori berkenaan menyumbang kepada masalah kesesakan di penjara negara.


"Misalnya, kita sekarang ini 41 penjara tetapi penghuni penjara sekarang dalam 93,000. Kapasiti penjara kita 75,000. Jadi kita boleh tengok bagaimana kesesakan," katanya.


Sehubungan itu, Saifuddin berkata, cadangan Akta Tahanan Rumah sebelum ini bertujuan membolehkan tahanan reman ditempatkan di rumah dengan pemantauan menggunakan teknologi moden sehingga tarikh perbicaraan.


"Sebab itu, saya waktu itu sudah pun mendapat persetujuan Kabinet secara dasar untuk saya mulakan proses untuk membentangkan ke Parlimen Akta Tahanan Rumah bertujuan untuk menangani kesesakan penjara.


"Di mana jika itu berlaku, jika rang undang-undang itu diluluskan, kita boleh keluarkan tahanan reman ini di rumah dan kita pakaikan segala peranti moden untuk mengawasi pergerakan mereka sehingga tarikh perbicaraan.


"Itu maksud asal yang kita bincangkan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page