top of page

Penyelarasan subsidi RON95 buat sementara waktu langkah tepat, berimbang - Mahfuz

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Mar 27
  • 2 min read

Tindakan Kerajaan Madani menyelaraskan kuota subsidi minyak RON95 kepada 200 liter per individu buat sementara waktu ketika perang berkecamuk di Timur Tengah merupakan langkah yang bertanggungjawab, berimbang dan berpandangan jauh


Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan bekalan minyak dan gas dunia, kerajaan memilih untuk bertindak secara proaktif bagi melindungi kepentingan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.


"Keputusan untuk mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 menunjukkan komitmen jelas kerajaan dalam memastikan rakyat tidak terbeban secara langsung.


"Dalam masa yang sama, penyelarasan subsidi kepada 200 liter sebulan adalah langkah rasional berdasarkan data penggunaan sebenar rakyat.


"Penyelarasan subsidi secara bersasar memastikan hampir 90% rakyat tidak terjejas, sekali gus membuktikan bahawa bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


"Langkah mengekalkan had penggunaan yang lebih tinggi bagi pemandu e-hailing sebanyak 800 liter sebulan juga mencerminkan keprihatinan terhadap golongan pekerja gig yang bergantung kepada penggunaan bahan api sebagai sumber pendapatan harian," katanya dalam satu kenyataan.


Selain itu kata Mahfuz, pelaksanaan kawalan pengisian diesel di Sabah dan Sarawak adalah satu tindakan perlu bagi mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang telah lama merugikan negara.


Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, tanpa kawalan yang lebih ketat, perbezaan harga bahan api berisiko membuka ruang kepada penyalahgunaan yang akhirnya menjejaskan bekalan dan kewangan negara.


"Cadangan untuk memperluaskan amalan kerja fleksibel pula adalah langkah progresif yang bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan kos kepada rakyat, malah meningkatkan kecekapan dan keseimbangan kehidupan kerja dalam sektor awam dan swasta.


"Hakikatnya, langkah-langkah ini bukan bertujuan untuk membebankan rakyat, tetapi untuk memastikan negara tidak terdedah kepada risiko yang lebih besar sekiranya krisis global terus berlarutan.


"Kerajaan tidak mengambil jalan populis yang mungkin memberi kelegaan sementara tetapi mengundang risiko jangka panjang. Sebaliknya, pendekatan yang diambil adalah bertanggungjawab, berhemat dan berpandangan jauh," ujarnya.


Oleh itu katanya, rakyat wajar menilai langkah berkenaan secara rasional sebagai usaha melindungi majoriti, mengurangkan pembaziran dan memastikan kestabilan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page