Penyelaras Parlimen Hulu Selangor tekad sediakan rawatan kesihatan percuma
- Akmal Manaf

- Apr 24
- 2 min read

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menzahirkan iltizam berterusan untuk memastikan tiada seorang pun dalam kalangan masyarakat tercicir daripada akses kepada rawatan kesihatan, dengan menawarkan khidmat perubatan secara percuma khusus kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, hasrat untuk menyediakan rawatan kesihatan secara percuma bukan sekadar impian peribadi, sebaliknya satu cita-cita yang didorong oleh keinginan untuk melihat sistem kesihatan negara mencapai tahap terbaik dan inklusif.
"Sebagai seorang doktor, yang saya janji sekarang (ialah) kita akan buat rawatan percuma kepada semua yang memerlukan.
"Sebenarnya ramai (lagi) yang rela untuk membantu, tapi kadang-kadang ada (juga) yang masih tak tahu lagi (cara). Jadi saya rasa ini (merupakan) peluang untuk kita sampaikan (sebarkan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Serahan Barang Kesihatan di Pertubuhan Kebajikan Bonda Juwanda di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
Dalam pada itu, Dr Sathia optimis jika diberi ruang dan kemampuan untuk terus melaksanakan inisiatif tersebut, beliau akan berusaha sedaya upaya hingga ke tahap tertinggi yang mampu dicapai, dengan keyakinan bahawa usaha berterusan itu, akhirnya akan membuahkan kejayaan demi manfaat rakyat.
"Tempat ini (Pertubuhan Kebajikan Bonda Juwanda) tidak besar, tapi kita buat apa yang kita boleh. Warga emas dan anak anak muda semua ada di sini.
"Saya suka lihat mereka bersama kerana silaturahim itu memang nampak. Rasa tersentuh (hati) dengar cerita mereka, memang ceritanya luar biasa sedikit.
"Kita akan bantu apa yang kita boleh dan apa sahaja yang masyarakat Malaysia perlukan," ujarnya lagi.
Untuk rekod, Dr Sathia merupakan pengasas kepada SP Care Group, sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan serta inisiatif penjagaan komuniti di Malaysia.




Comments