Penyatuan Melayu mesti berteraskan agenda jujur, bukan politik – Faiz


Penyatuan orang Melayu perlu berteraskan agenda yang jujur dan tidak semata-mata didorong kepentingan mendapatkan kuasa politik, kata Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil.
Beliau berkata, usaha penyatuan Melayu yang sering diketengahkan Pas dan Umno dilihat lebih menjurus kepada usaha mendapatkan kuasa, sedangkan kuasa semata-mata tidak mampu menyatukan masyarakat Melayu.
"..... kuasa sahaja tidak mampu untuk menyatukan orang Melayu kerana kuasa adalah agenda politik. Pas dan Umno terdesak untuk mendapatkan kuasa, tetapi bercakaran sesama sendiri apabila berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Faiz, sejarah kerjasama Pas dan Umno yang pertama pada 1970an dan penubuhan Muafakat Nasional pada 2019 disifatkan sebagai episod hitam yang memberi kesan kepada masyarakat Melayu.
"Sejarah penyatuan dua parti ini pada tahun 1974 apabila Pas menyertai BN, dan 2019 (Muafakat Nasional) adalah episod hitam bagi orang Melayu sehingga mewujudkan sikap takfiri, ekstrimisme dan penindasan sesama Melayu," ujarnya.
Beliau berkata, AMANAH berpandangan penyatuan Melayu perlu diperjuangkan bersama tanpa mengira latar belakang politik dan tidak seharusnya dianggap sebagai agenda eksklusif Pas atau Umno.
"Amanah menegaskan bahawa agenda penyatuan Melayu harus berasaskan prinsip yang jujur.
"Prinsip jujur ini termasuk menjaga institusi orang Melayu supaya tidak disalahgunakan. Namun, skandal yang telah melanda Tabung Haji tidak dipedulikan Pas dan Umno," katanya.
Faiz turut mempersoalkan desakan Pas dan Umno supaya satu lagi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu Lembaga Tabung Haji.
Katanya, pemikiran ahli politik kedua dua parti amat tidak masuk akal dan seolah-olah mempertikaikan kewibawaan panel RCI.
Hakikatnya, kata beliau skandal Tabung Haji mendedahkan kelemahan pentadbiran institusi yang memegang amanah jutaan pendeposit Islam, termasuk berkaitan keputusan pelaburan dan pelaporan kewangan.
Faiz berkata, tindakan pendakwaan terhadap beberapa individu berkaitan skandal berkenaan amat tepat bagi menyelesaikan masalah berkenaan secara tuntas.
"Perkara yang lebih penting sekarang ialah memastikan semua dapatan RCI disusuli dengan tindakan menurut undang-undang.
"Seharusnya orang Melayu bersatu mempertahankan Tabung Haji daripada skandal kewangan. Wang Tabung Haji bukan modal percaturan politik dan bukan dana yang boleh diurus sesuka hati," katanya.




Comments