Penyasaran subsidi RON95, 2026 jimatkan RM2.5 bilion - PM
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Penyasaran subsidi RON95 bagi tahun ini dijangka menjimatkan kira-kira RM2.5 bilion, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri (PM) berkata, hasil penjimatan tersebut membolehkan kerajaan memperkenalkan beberapa program bagi membantu rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Dua hari lalu, 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerima RM100 setiap individu melalui MyKad. Ini SARA untuk semua.
"Bayangkan (dalam) dua hari, sebanyak RM200 juta telah dibelanjakan (disalurkan kerajaan) dan 2 juta rakyat boleh menggunakannya.
"Ini satu kejayaan dalam kalangan penjawat awam dengan dasar yang lebih telus," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu jumlah penjimatan dicapai melalui pelaksanaan BUDI MADANI (BUDI95) sepanjang tahun 2025 dan unjuran penjimatan bagi tahun 2026 serta bagaimana penjimatan tersebut dimanfaatkat seperti disalurkan semula kepada rakyat untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan memperkukuh bantuan bersasar kepada golongan B40 dan M40.
Tambah Anwar lagi, penggunaan subsidi RON95 dalam kalangan rakyat selama ini dilihat lancar ucapan tahniah dirakamkan kepada semua pegawai, penjawat awam dan penguatkuasa yang melaksanakannya dengan begitu baik.
"Ini satu kejayaan yang membanggakan kita. Umpamanya transaksi untuk satu hari ialah 3.1 juta (orang), tapi berjalan dengan baik.
"Penggunaannya (dalam kalangan rakyat Malaysia) pun lebih bertanggungjawab. Kalau dilihat ada kenderaan asing menggunakan, (rakyat Malaysia) melaporkan (perkara itu).
"Jadi semangat kebangsaan dan tanggungjawab dalam kalangan rakyat itu (sesuatu) yang membanggakan," katanya sambil memuji masyarakat di negara ini.
Untuk rekod, pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter telah bermula sejak 30 September tahun lalu bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Rakyat Malaysia secara automatik layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.
Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada kadar RM2.60 bermula tarikh yang sama.
Pelaksanaan inisiatif itu dibuat di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi dan meringankan kos sara hidup golongan sasar.





