Jawatankuasa bebas: Cadangan Izzah perlu diperhalusi julang martabat SPRM
- Suara Keadilan
- 47 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar) baru-baru ini telah mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa bebas di bawah Parlimen bagi memantau tindakan dan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Nurul Izzah berkata, keperluan itu timbul kerana terlalu banyak kuasa tertumpu kepada SPRM, termasuk dalam aspek siasatan, pendakwaan dan kewangan, tanpa pemantauan luar yang berkesan.
"KEADILAN konsisten membangkitkan kebimbangan ini sejak awal 2000-an. Apabila kuasa sebegini tidak dipantau, risiko salah guna bukanlah sesuatu yang bersifat hipotesis – ia tidak dapat dielakkan.
"Apabila tiada siapa memantau pihak yang membuat pemantauan, kebertanggungjawaban akan terhakis," katanya sebagaimana dilaporkan media tempatan.
Beliau turut mengingatkan bahawa KEADILAN telah lama membangkitkan isu ini dan pernah menyuarakan bantahan terhadap lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada tahun lalu.
Memperkasa peranan SPRM
Meskipun ramai yang menyindir dan mempertikaikan cadangan tersebut, apa yang Nurul Izzah lontarkan itu sebenarnya adalah perlu dan sesuai dengan keperluan semasa untuk memperbaiki lagi peranan SPRM.
Hakikatnya, SPRM wajar dipantau oleh sebuah jawatankuasa bebas di bawah kuasa Parlimen bagi memastikan peranannya benar-benar terpelihara serta berkesan.
Cadangan yang dikemukakan beliau itu juga memperlihatkan rasa prihatin dan komitmen Nurul Izzah sebagai seorang pemimpin terhadap pelbagai isu yang berlaku dalam SPRM.
Dengan adanya jawatankuasa bebas itu, SPRM setidak-tidaknya boleh dipastikan berperanan dengan sebaiknya seperti mana harapan rakyat kepada badan tersebut.
Sama seperti bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gigih memerangi rasuah, Nurul Izzah pula melalui cadangan penubuhan jawatankuasa bebas itu dengan sendirinya memperlihatkan beliau sedang bergerak di landasan yang sama dalam aspek memastikan SPRM sentiasa diyakini rakyat dalam membendung amalan rasuah.
Terkini dalam usaha memberi pencerahan mengenai cadangan tersebut Nurul Izzah dalam status laman sosialnya semalam menyebut dengan jelas apakah perananan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah tersebut.
Penulis terpanggil untuk mempaparkan catatan penuh Nurul Izzah supaya cadangan Puteri Reformasi ini diperhalusi secara positif dan diangkat sebagai penambahbaikan martabat SPRM .
SPRM perlu dilihat sebagai badan yang terpaling diyakini, paling disegani serta namanya sentiasa mengharum bukan sahaja oleh warga Malaysia tetapi masyarakat antarabangsa.
Berikut adalah penjelasan Nurul Izzah dalam media sosialnya semalam:
𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗞𝗵𝗮𝘀 𝗠𝗲𝗻𝗴𝗲𝗻𝗮𝗶 𝗥𝗮𝘀𝘂𝗮𝗵: 𝗣𝗲𝗿𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗕𝗮𝘁𝗮𝘀𝗻𝘆𝗮
Semalam saya menyentuh tentang keperluan kepada pemantauan yang lebih berkesan terhadap institusi pembanteras rasuah.
Ingatlah setitik nila mampu menghapuskan segala ikhtiar ikhlas dan gigih oleh ramai anggota yang terus berbakti dengan jujur dan amanah.
Nila sebeginilah yang perlu dikenal pasti dan disingkirkan.
Bayangkan berapa sekolah, rumah rakyat PPR & prasarana rakyat lainnya yang mampu dibina bila aliran berbilion duit rampasan diselamatkan.
Kita mahu aliran duit rampasan jerung-jerung perasuah yang ditangkap dipantau dengan jelas dan jangan pula terkandas separuh jalan.
Ramai yang mengingatkan bahawa Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah sebenarnya sudah wujud.
Tugas jawatankuasa
Ya, jawatankuasa ini memang wujud. Namun, penting untuk memahami peranan dan batas fungsinya.
Jawatankuasa ini bersifat nasihat, bukan badan bebas yang menjalankan fungsi pemantauan.
Secara ringkas, tugasnya ialah:
• Memberi nasihat kepada Perdana Menteri tentang isu rasuah di Malaysia;
• Meneliti laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia;
• Menyemak ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah terhadap perjalanan SPRM; dan
• Meminta penjelasan mengenai laporan dan ulasan tersebut.
Namun, jawatankuasa ini tidak membentangkan laporan di Parlimen, tiada perbahasan terbuka, serta tiada kuasa untuk memanggil saksi atau membuat pendedahan.
Bermakna, ia berfungsi di belakang tabir, dengan kuasa yang terhad dan bukan melalui semak imbang Parlimen yang telus dan terbuka kepada rakyat.
Pengawasan yang berkesan bukan sekadar menasihati, tetapi mesti berlaku secara terbuka - di mana kuasa boleh dipersoalkan, keputusan boleh diteliti, dan institusi dipertanggungjawabkan.





