'Penurunan harga diesel kebijaksanaan PMX, bukan gula gula PRN'
- Akmal Manaf
- 1 day ago
- 2 min read

Dakwaan laskar siber pembangkang bahawa penurunan harga diesel merupakan ‘gula-gula’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, disifatkan tidak berpijak pada realiti ekonomi kerana harga bahan api itu bergantung kepada bekalan dan permintaan serta keupayaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam mengimbangi subsidi.
Membidas dakwaan tersebut, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar) menegaskan, harga minyak tidak ditentukan oleh pilihanraya, sebaliknya dipengaruhi pasaran global dan keupayaan sesebuah kerajaan menjalin hubungan dan rundingan dengan negara pengeluar minyak bagi menjamin bekalan yang mencukupi kepada Malaysia.
"Apabila bekalan dan permintaan berada dalam keadaan seimbang, negara tidak akan berdepan kekurangan stok minyak yang boleh menyebabkan harga meningkat.
"Pada masa sama, kemampuan kerajaan mengimbangi dan mengurus subsidi dengan berkesan turut menjadi faktor penting dalam memastikan harga bahan api kekal terkawal," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan penyokong pembangkang bahawa penurunan harga diesel merupakan langkah populis kerajaan bagi meraih sokongan menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan, sedangkan penurunan harga bahan api itu hasil kejayaan rundingan PMX dengan negara pengeluar seperti Rusia dan Turkmenistan dalam memperkukuh bekalan petroleum negara.
Mengulas lanjut, Iman Haziq menasihatkan pihak pembangkang agar tidak terus mencari kesalahan Perdana Menteri atau melontarkan kritikan yang tidak berasaskan fakta.
Sebaliknya, beliau berkata mereka wajar bersikap lebih kritis dan konstruktif dengan mengemukakan cadangan dan penyelesaian yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan kerajaan pada masa ini.
"Kalau tak boleh nak tawarkan (alternatif yang bernas), sokonglah langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan.
"Tak semestinya menyokong itu menunjukkan minat, masa pilihanraya, nak lawan kita lawan, (tetapi) semasa kita mentadbir kerajaan (demi kesejahteraan rakyat), sokonglah apa yang baik.
"Seperkara lagi, saya melihat pelaksanaan pembelian diesel bersubsidi menggunakan mekanisme pengesahan MyKad yang akan bermula Julai ini, sebagai langkah yang lebih efisien bagi memastikan manfaat subsidi disalurkan terus kepada rakyat Malaysia yang layak.
"Inilah dinamakan sebagai reformasi sistem yang dilaungkan PM Anwar dalam mengemudi Malaysia ke arah yang lebih baik. Saya turut merasa lega (dengan pengumuman penurunan harga diesel) kerana saya juga menggunakan kenderaan pacuan empat roda," ujar beliau yang juga Ketua AMK Cabang Ampang.
Untuk rekod, harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter mulai Julai depan.
Kementerian Kewangan (MOF) melalui kenyataan media memaklumkan, melalui pembaharuan itu, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
