Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Video tular membabitkan tindakan penyampai radio Khairy Jamaluddin, Fara Fauzana dan Johan Raja Lawak yang menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) semasa bersiaran di segmen Bekpes Hot telah menerima pelbagai reaksi netizen termasuk kecaman di media sosial.
Malah ada netizen yang menganggap segmen tersebut sebagai keterlaluan dan mahu siaran radio tersebut diboikot. Sehingga kini tiada sebarang kenyataan maaf dikeluarkan oleh ketiga-tiga penyampai radio tersebut. Johan Raja Lawak dalam kenyataannya telah mempertahankan diri dengan menyatakan beliau hanya menjalankan tugas sebagai penyampai radio untuk menghiburkan pendengar. Tiada sebarang kekesalan diluahkan oleh beliau terhadap ketelanjuran yang telah dilakukan.
Mempermain kredibiliti PM
Kedudukan Perdana Menteri dalam sesebuah kerajaan mengikut sistem Westminster dianggap sebagai Ketua Negara (Head of State). Maka mempermainkan kredibiliti dan imej Perdana Menteri seolah-olah mempermainkan kewibawaan seluruh negara.
PMX sebagai Ketua Negara pada masa kini berjaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin dunia lain seperti Vladimir Vladimirovich Putin, Recep Tayyip Erdoğan dan Putera Mohammed bin Salman. Perbuatan mempermainkan imej dan kredibiliti PMX oleh rakyatnya sendiri akan menyebabkan kewibawaan Ketua Kerajaan dan Malaysia dipandang rendah oleh pemimpin dan masyarakat dunia.
Jika perkara seperti ini berlaku di negara luar seperti Arab Saudi yang melibatkan pemimpin tertinggi seperti Putera Mahkota, Mohammed bin Salman maka pelaku tersebut akan dihumban ke dalam kem tahanan. Perkara yang sama turut dilakukan pada zaman penjajahan British di mana rakyatnya yang didapati mempermainkan nama pemimpin empayar British maka hukuman Penghinaan Awam (Public Humiliation) akan dikenakan.
Pertahan nama baik pemimpin
Kedudukan Ketua Negara yang perlu dipertahankan kewibawaannya telah diterangkan oleh Sun Tzu's melalui buku tulisannya iaitu The Art of War. Sun Tzu's telah meletakkan lima ciri pemimpin dan salah satu daripadanya adalah kebolehpercayaan, seorang pemimpin boleh kehilangan segalanya (malah tentera dan kubu) namun pemimpin tidak boleh kehilangan kelima-lima ciri tersebut termasuklah kebolehpercayaan.
Ciri-ciri pemimpin tersebut menurut Sun Tzu's perlu dipertahankan walaupun terpaksa bertindak agresif dan tegas. Sun Tzu's sendiri mengamalkan pemerintahan yang tegas (iron discipline) terhadap tenteranya supaya tiada sesiapa yang berani memandang rendah dan memperkecilkan setiap perintahnya, supaya setiap perancangan dapat dijalankan dengan teratur. Tiada toleransi terhadap usaha memperkecilkan pemimpin pada pandangan Sun Tzu's kerana kewibawaan pemimpin adalah kunci yang menyatukan seluruh pengikutnya.
Louis XVI yang menjadi raja terakhir Perancis berjaya digulingkan apabila perbuatan menghina nama baiknya berlaku secara berleluasa tanpa sebarang kekangan, penghinaan tersebut akhirnya menghakis kewibawaan Louis XVI dan keyakinan rakyat terhadap pemerintahannya.
Jangan hakis keyakinan rakyat
Seharusnya perbuatan mempersenda PMX tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja, pengajaran setimpal perlu diberikan kepada perbuatan tersebut kerana jika ia dinormalisasikan tidak mustahil nama baik Perdana Menteri akan dipermainkan secara lebih berleluasa pada masa hadapan.
Pengajaran yang diberikan kepada individu yang mempersenda nama baik PMX bukan bermaksud menghalang hak bersuara mana-mana rakyat Malaysia seperti yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, pengajaran ini perlu dilakukan bagi memastikan keyakinan rakyat tidak terhakis kepada PMX dan Kerajaan Madani tidak menerima nasib yang sama seperti Louis XVI.
PMX telah beberapa kali menyatakan bahawa beliau bersedia untuk dikritik secara profesional dan beradab berkenaan polisi atau dasar yang dibawanya, namun jika kritikan yang dibawa itu adalah dalam bentuk penghinaan maka ianya adalah sesuatu yang di luar batas dan perlu kepada pengajaran yang setimpal.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments