Pasca Pengampunan Najib: Susun Semula Strategi Menuju PRU 16


Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk bayaran RM50 juta telah mencetuskan reaksi politik yang ketara.
Umno secara terbuka melancarkan kutipan sumbangan bagi membantu menjelaskan RM50 juta tersebut.
Justeru, bagi KEADILAN persoalan strategiknya bukan sekadar “bagaimana menyerang Najib?”. Persoalan yang lebih besar ialah
bagaimana KEADILAN mahu meyakinkan pengundi bahawa agenda KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU)16 lebih penting daripada pertelingkahan politik mengenai Najib.
Enam medan boleh digunakan
Saya melihat sekurang-kurangnya enam medan yang boleh KEADILAN gerakkan iaitu:
Jadikan isu integriti sebagai medan fakta, bukan emosi. KEADILAN boleh mengemukakan kronologi kes, keputusan mahkamah, proses pengampunan dan syarat yang dikenakan secara berfakta. Ini membolehkan pengundi membuat penilaian sendiri tanpa KEADILAN kelihatan menyerang institusi Raja-Raja Melayu.

Bezakan keputusan pengampunan dengan tanggungjawab kerajaan. Pengampunan ialah prerogatif di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan pula perlu terus menjawab persoalan berkaitan tadbir urus, pemulihan aset, antirasuah dan rule of law. Ini memberi KEADILAN ruang untuk membawa perbahasan kepada dasar dan masa depan negara.
Jangan biarkan Umno menentukan keseluruhan naratif. Kutipan RM50 juta oleh Umno menunjukkan bahawa isu Najib bukan lagi sekadar isu individu; ia telah menjadi isu yang mempunyai dimensi organisasi dan politik.
KEADILAN perlu menjawab dengan naratif sendiri, “Kami bukan mahu menghukum sesiapa. Kami mahu memastikan standard tadbir urus yang sama terpakai kepada semua.”
Jangan serang personaliti
Serang dengan dasar, bukan personaliti. Ini penting menjelang PRU16. KEADILAN boleh menawarkan agenda yang lebih luas seperti kos sara hidup; pekerjaan dan pendapatan; reformasi institusi; pendidikan; kesihatan; peluang anak muda; ekonomi digital dan AI; pembanterasan rasuah; pengukuhan institusi Parlimen.
Dengan cara ini, isu Najib menjadi salah satu medan perdebatan, bukan keseluruhan manifesto KEADILAN.
Sasarkan pengundi atas pagar dan generasi muda. PRU16 akan banyak ditentukan oleh bagaimana pengundi menilai prestasi kerajaan, pembangkang dan calon masing-masing. Maka KEADILAN perlu menerangkan “apa yang kami tawarkan untuk lima tahun akan datang”, bukan hanya “apa kesalahan pihak lawan.”
KEADILAN perlu menyatukan mesej. Kalau KEADILAN mahu bergerak secara ofensif, mesej antara Presiden, pimpinan pusat, menteri dan wakil rakyat perlu konsisten.
Jangan seorang pemimpin bercakap mengenai reformasi, seorang lagi hanya menyerang Najib, manakala seorang lagi menyerang Umno. Satu naratif. Satu agenda. Satu pasukan.
Realiti sokongan tidak sama pendapat politik
Tetapi ada satu perkara yang KEADILAN perlu berhati-hati. Kenyataan Hassan Karim bahawa perkembangan ini memberikan “bola tanggung” atau kelebihan politik kepada PH ialah pandangan politik beliau, bukannya fakta bahawa pengundi keseluruhannya telah berubah pendirian.
Begitu juga dakwaan bahawa rakyat semakin marah terhadap sistem dua darjat, ialah dakwaan politik yang perlu diuji dengan data tinjauan yang representatif, bukannya dianggap sebagai kesimpulan seluruh rakyat. Jadi KEADILAN perlu turun ke lapangan, buat kajian dan dengar sendiri pengundi.
Jika KEADILAN benar-benar mahu mengambil pendekatan ofensif menuju PRU16, serangan itu perlu mempunyai tiga senjata utama iaitu fakta, dasar dan komunikasi.
Bukan sekadar menyerang Najib. Bukan sekadar menyerang Umno, mempertahankan kerajaan. Tetapi menerangkan kepada rakyat apakah Malaysia yang KEADILAN mahu bina selepas PRU16.
Itulah persoalan yang akhirnya perlu dijawab oleh semua parti politik kepada pengundi.
Penulis merupakan penganalisis Politik merangkap Pengerusi Biro Politik SekPur




Comments